Exco umum projek ganti lif dua perumahan berstrata dekat Batu Lancang

Admin
(Dari kiri) MOHD. Fauzy Mohd. Yusoff, R.S.N. Rayer, Jagdeep Singh Deo dan Ong Ah Teong dalam sidang media hibrid berkaitan pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Sejumlah RM156,300 atau 80 peratus daripada RM195,400 keseluruhan kos penggantian dua unit lif di pangsapuri Harmony View dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Lancang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri menerusi Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP), sementara baki RM39,100 ditanggung oleh persatuan penduduk perumahan berstrata berkenaan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri meluluskan permohonan 80 peratus atau RM144,000 daripada RM180,000 keseluruhan kos projek penarafan tiga unit lif di pangsapuri Taman Sri Penawar dekat Batu Lancang, manakala baki kira-kira RM36,000 akan ditanggung oleh Persatuan penduduk.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang prihatin dan kita faham bahawa skim-skim (perumahan berstrata) ini tidak mampu menyediakan dana untuk semua kerja-kerja penyelenggaraan terutamanya skim-skim perumahan lama yang memerlukan penaiktarafan seperti lif, tangki serta kerja-kerja pendawaian semula.

“Selain fokus bagi memastikan perbekalan rumah mampu milik (RMM) adalah mencukupi, kita juga akan teruskan program (TPM80PP) ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat pada sidang media yang diadakan menerusi Facebook Live miliknya pada 30 Jun 2022.

Selepas itu, Jagdeep menyerahkan surat kelulusan permohonan peruntukan TPM80PP bagi dua projek penarafan tersebut kepada dua wakil rakyat berwajib iaitu ADUN Batu Lancang, Oh Ah Teong dan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.

Ketua Pegawai Operasi bagi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff turut menyaksikan acara penyerahan surat kelulusan permohonan peruntukan TPM80PP tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB