Feri rekod 5 juta penumpang, tingkat penggunaan pengangkutan awam negeri – Exco

Admin
img 20251119 wa0012(1)

GEORGE TOWN – Perkhidmatan feri Pulau Pinang terus menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan lebih lima juta penumpang dalam tempoh 17 bulan sejak ia mula beroperasi pada Oktober 2023.

 

 

 

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, rekod penumpang yang diumumkan oleh Penang Port Sdn. Bhd. ini jelas menunjukkan bahawa perkhidmatan feri merupakan salah satu alternatif pengangkutan pilihan penduduk Pulau Pinang.

 

 

 

“Kerajaan Negeri dengan Kerjasama agensi-agensi berkaitan di bawah Kementerian Pengangkutan, sedang menyusuli cadangan untuk perkenalkan perkhidmatan feri air yang lebih futuristik.

 

 

 

“Buat masa ini, kajian kebolehlaksanaan sedang dibuat bagi mengenal pasti model yang paling sesuai dilaksanakan di negeri ini,” ujarnya.

 

 

 

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 19 November 2025.

 

 

 

Dalam sesi sama, Zairil turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian Pengangkutan, Prasarana dan Rapid Penang atas pelancaran 310 bas diesel di bawah Program Penggantian Bas 2025 yang mana Pulau Pinang turut menerima bas baharu tersebut.

 

 

 

“Saya juga dimaklumkan, pada suku kedua tahun 2026, bas elektrik akan mula beroperasi di negeri ini sekali gus menunjukkan sokongan Rapid Penang terhadap usaha Kerajaan Negeri ke arah negeri karbon rendah.

 

 

 

“Usaha ini juga sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini,” katanya.

 

 

 

Difahamkan, bermula 1 Januari 2026, laluan bas baharu secara percuma iaitu CAT Hospital akan mula beroperasi yang mana ia akan melalui tiga bangunan hospital, satu klinik kesihatan dan kawasan sekolah sepanjang lapan kilometer dengan sela masa antara 20 hingga 30 minit untuk tiga buah bas.

 

 

 

Malah, perkhidmatan mobiliti baharu iaitu Rapid On Demand (ROD) juga telah diperluaskan ke Seberang Perai meliputi kawasan Bukit Mertajam, Seberang Jaya dan Bertam.

 

 

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN