Festival Balik Pulau 2025 perkukuh identiti seni, budaya dan sukan komuniti

Admin
festival balik pulau

PULAU BETONG – Penganjuran Festival Balik Pulau 2025 berjaya menyerlahkan keunikan tempatan seperti kegiatan seni, budaya dan sukan komuniti sekali gus menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.

 

Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, kejayaan festival ini adalah hasil kolaborasi strategik pelbagai pihak, termasuk jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, sektor swasta, korporat serta badan bukan kerajaan (NGO).

 

festival yb
WONG Hon Wai.

 

“Festival Balik Pulau ini merupakan manifestasi usaha bersama dalam mengetengahkan seni, budaya, warisan serta potensi pelancongan luar bandar yang unik dengan harapan dapat menarik lebih ramai pelancong dan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” ujarnya semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Festival Balik Pulau 2025, dekat Kompleks Sukan Balik Pulau, baru-baru ini.

 

Turut hadir, wakil Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Persatuan Warmina Pulau Pinang, serta pemain-pemain industri pelancongan dan kebudayaan tempatan.

 

Mengulas lanjut, Hon Wai turut berkongsi mengenai prestasi cemerlang sektor perhotelan apabila jumlah pelancong yang menginap di hotel di seluruh negeri ini bagi tahun 2024 meningkat sebanyak 28.9 peratus berbanding tahun 2019.

 

fbl
TARIAN Bharatanatyam memukau penonton dengan gerak klasik yang anggun di Festival Balik Pulau 2025.
festical balik pualu
SEKUMPULAN penari Zapin memeriahkan Festival Balik Pulau 2025 dengan persembahan berirama tradisional.

 

“Seramai 8.23 juta pelancong telah menginap di hotel-hotel di Pulau Pinang pada tahun 2024, berbanding 6.38 juta orang pada tahun 2019.

 

“Ini membuktikan segala usaha promosi kita berada pada landasan yang betul,” ulasnya lanjut.

 

Selain itu, Hon Wai memaklumkan bahawa Bukit Bendera terus mencatatkan prestasi kukuh sebagai mercu tanda pelancongan negeri pada suku pertama tahun 2025, sekali gus menandakan daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi bertaraf antarabangsa.

 

“Peningkatan pelancong bukan hanya menguntungkan kawasan bandar, malah memberi manfaat kepada kawasan luar bandar seperti Balik Pulau yang kaya dengan keaslian dan warisan budaya,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong itu lagi.

 

Dalam pada itu, Hon Wai turut menekankan kepentingan mempertahankan identiti Pulau Pinang sebagai ‘mutiara berharga’ yang harus terus dijaga agar kekal bersinar di mata dunia.

 

“Dengan pelbagai pengiktirafan antarabangsa terhadap produk pelancongan dan seni budaya kita, Pulau Pinang perlu terus dipelihara agar nilainya tidak pudar dimamah usia,” katanya.

 

Oleh: M. DANESWARAN

Gambar: EXCO