SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid yakin penganjuran Festival Cita Rasa Warisan @IPT 2025 akan menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional serta memperhebat promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menurut beliau, kolaborasi antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh dalam menganjurkan festival selama dua hari itu selaras dengan usaha MBSP mempromosikan sektor pelancongan tempatan di sekitar Seberang Perai.
“Saya yakin melalui festival ini, bukan sahaja makanan warisan dapat diperkenalkan hingga ke akar umbi, malah ia mampu menjadi pemangkin ekonomi komuniti tempatan, khususnya di kawasan Seberang Perai dan seluruh utara tanah air,” katanya pada majlis berkenaan di sini pada 7 Oktober 2025.
Beliau menambah, usaha MOTAC dalam pemberian geran sokongan sektor kebudayaan dan pelancongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor korporat turut membuka peluang yang lebih luas kepada masyarakat untuk menghidupkan warisan serta melahirkan generasi pelapis.
“Lebih menarik lagi, pengenalan insentif potongan cukai sehingga RM1 juta di bawah Perenggan 34(6)(K) Akta Cukai Pendapatan 1967 turut dilihat mampu menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam penajaan aktiviti kesenian dan warisan,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin berkata, penganjuran Festival Cita Rasa Warisan @IPT bertemakan “Cita Rasa Warisan, Aspirasi Belia” amat bertepatan dengan usaha MOTAC untuk memupuk kesedaran dan minat dalam kalangan generasi muda terhadap kepentingan makanan warisan negara.
“Institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan platform ideal bagi mendekatkan golongan belia kepada akar budaya, sekali gus menjadikan mereka ejen pemelihara dan penyambung legasi warisan negara.
“Festival ini bukan sekadar ruang pameran dan jualan makanan tradisional, tetapi juga medan perkongsian ilmu melalui persidangan, demonstrasi masakan, pertandingan serta bengkel interaktif.
“Semua ini memperlihatkan usaha bersama dalam memartabatkan makanan warisan sebagai aset pelancongan dan ekonomi budaya negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Profesor Dato’ Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh berkata, penganjuran festival tersebut merupakan satu penghormatan daripada MOTAC kepada universiti awam berkenaan.
“Saya difahamkan pelbagai aktiviti menarik berkaitan makanan warisan telah disusun sepanjang festival ini bagi mendekatkan golongan belia untuk menyedari, memahami dan menghayati warisan budaya kita.
“Antaranya termasuk persidangan, pameran, demonstrasi makanan warisan dan persembahan kebudayaan.
“Saya percaya festival ini akan memberi impak serta pendedahan yang lebih meluas dalam memperkenalkan budaya warisan kita kepada generasi muda.
“Terima kasih kepada MOTAC dan Jabatan Warisan Negara atas penghormatan yang diberikan kepada UiTM,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Wan Ashbi @ W. Maheran Leman, serta Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh, Dr. Ahmad Asri Abd Samat.
Dalam acara berasingan pada sebelah pagi hari sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai, merasmikan Persidangan Kebangsaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di Dewan Besar universiti berkenaan.
Dalam ucapannya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mencalonkan 10 makanan tradisi negeri kepada Jabatan Warisan Negara untuk diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan, iaitu nasi kandar, char kuetiau, pasembur, mi Hokkien, mi Jawa, ‘oh chien’ (omelet tiram), mi udang, mi sotong, kerabu bihun dan roti benggali.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB