SEBERANG JAYA – Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat KADUN Jawi akan menganjurkan Festival Nibong Tebal 2026 pada 7 dan 8 Februari 2026 depan di Jalan Pasar Lama dekat kawasan Parlimen Nibong Tebal.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berkata, festival tersebut turut disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Penang Global Tourism (PGT).
“Festival Nibong Tebal 2026 adalah sebuah program komuniti berkonsepkan gastronomi, kesenian, kebudayaan dan warisan tempatan dalam memperkasa dan mempromosikan komponen pelancongan serta ekonomi kreatif sekali gus memangkin aktiviti Local Economic Development (LED) dan tumpuan awam di Seberang Perai Selatan,” jelasnya kepada pemberita di Menara Bandaraya di sini pada 23 Januari 2025.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) lain turut sertai sidang media ringkas tersebut.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata bahawa pihaknya berharap penganjuran festival tersebut akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi peringkat lokal di samping mempromosi produk-produk pelancongan desa nanti.
Buletin Mutiara difahamkan, projection mapping showcase, international buskers, Drim Circle, FIRE Performance, Bengkel kaligrafi khat dan chinese caligraphy workshop, demonstrasi masakan tradisional, Asian board games, pameran barangan upcycle, Pameran Leveling Up Seberang Perai, Food Alley (Food Stals & Food Trucks) dan cabutan bertuah merupakan antara aktiviti menarik sepanjang dua hari penganjuran festival tersebut.
“Festival yang dibawakan secara percuma ini bakal menarik ramai pengunjung tempatan dan luar daripada pelbagai golongan dan etnik untuk hadir menyaksikan kepelbagaian pengisian seni, budaya, muzik, tarian, hands-on workshop dan sebagainya sepanjang festival berlangsung,” jelasnya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN