PENAGA – Lebih 5,000 pengunjung memeriahkan penganjuran Festival Penang2030 dan Hari Warisan Seberang Perai 2025 yang berlangsung dekat Kampung Agong di sini sempena meraikan ulang tahun ketujuh pelancaran gagasan Visi Penang2030.
Festival yang memasuki tahun kedua tersebut dianjurkan dengan kerjasama Unit Penang2030 Pejabat Ketua Menteri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tech Dome Penang dan Penang Green Council (PGC).
Pelbagai aktiviti menarik penuh tradisi serta berwarna-warni mengisi perjalanan festival yang berlangsung dari pukul 2 petang seperti pertandingan pakaian tradisional dan mewarna kanak-kanak, persembahan kebudayaan serta pertandingan sukan rakyat seperti permainan congkak, tarik upih, lari dalam guni dan sepak raga bulatan.
Penganjuran pelbagai bengkel seperti STEM (Sains, Teknologi, Kejuteraan dan Matematik) oleh Tech Dome Penang, Makerspace oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kraf warisan, silat dan wayang kulit, mencanting batik, kuih tradisional serta banyak lagi turut diadakan.
Terdahulu, pada sebelah pagi pula berlangsung program menanam sebanyak 50 batang pokok pinang sebagai simbolik kepada warisan negeri Pulau Pinang.










Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penganjuran festival tersebut adalah bertujuan membawa Visi Penang2030 ke lapangan bagi menggalakkan penyertaan rakyat, di samping pelbagai program yang dianjurkan pada peringkat akar umbi.
“Dalam memastikan tunjang-tunjang utama yang diwacanakan tercapai, sistem pemantauan khas, Penang2030 Dashboard diwujudkan bagi membolehkan rakyat memantau kemajuan intipati Visi Penang2030 dari semasa ke semasa secara terbuka.
“Selepas tujuh tahun dilancarkan, secara keseluruhannya Visi Penang2030 kini telah mencapai tahap lingkungan 80 peratus dan ia telah menyediakan landasan kukuh untuk masa hadapan serta meletakkan Pulau Pinang ke tahap yang lebih tinggi dalam aspek pembangunan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan festival berkaitan dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Long; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Dewan Rakyat; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid serta Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP dan MBPP.
Menyentuh mengenai warisan, Kon Yeow menyatakan bahawa penganjuran Festival Penang2030 dan Hari Warisan dapat mengangkat kekayaan budaya serta warisan yang menjadi aset berharga kepada negeri Pulau Pinang.
“Dalam suasana kampung penuh kehijauan dan nilai warisan tradisi, kemeriahan sambutan ini lazimnya dapat mengeratkan lagi nilai keharmonian sedia terjalin dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang di Pulau Pinang.
“Selain seni pembuatan kuih tradisional, pertandingan pakaian kanak-kanak dan permainan rakyat, kita juga membawa pendekatan elemen warisan tradisi yang boleh bergerak seiring dengan peredaran teknologi serta inovasi yang wajar dimanfaatkan semua pihak,” ujarnya ketika merasmikan festival berkaitan dekat sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri begitu komited dalam usaha memelihara dan memulihara budaya serta warisan di negeri ini termasuk warisan tak ketara seperti bahasa dan kesenian tempatan.
“Ketika ini, Kerajaan Negeri sedang giat melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan bangunan bersejarah termasuk Masjid Jamek Benggali, rumah kedai tradisional, monumen, tapak bersejarah Guar Kepah dan banyak lagi.
“Projek pembinaan Galeri Arkeologi Guar Kepah yang terletak di Seberang Perai Utara (SPU) contohnya, merupakan inisiatif penting Kerajaan Negeri yang mana ia akan melengkapkan peta pelancongan arkeologi wilayah utara Semenanjung.
“Projek ini telah siap dan dijangka dibuka kepada orang awam pada suku ketiga tahun ini, dan galeri ini akan menyusul selepas rangka-rangka yang disimpan di Collection Center Netherlands (CCNL), Belanda dibawa balik.
“Apabila dibawa pulang, rangka-rangka ini akan diserahkan kepada pihak Universiti Sains Malaysia (USM) terlebih dahulu kerana mereka mempunyai kepakaran untuk menjalankan apa yang perlu sebelum dipindahkan ke Galeri Arkeologi Guar Kepah.
“Selepas perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, galeri ini kemudiannya akan dibuka kepada orang awam yang dijangka dalam tahun ini juga,” ulasnya lanjut.
Sebelum itu, Baderul Amin menyatakan bahawa Hari Warisan Seberang Perai telah memasuki edisi ketiga penganjurannya, hasil inisiatif berterusan MBSP dalam memartabatkan warisan budaya yang menjadi identiti masyarakat majmuk Seberang Perai.
“Warisan bukan sekadar khazanah masa lalu, bahkan ia adalah jiwa dan jati diri yang perlu dipertahankan serta diturunkan kepada generasi akan datang.
“Justeru, saya menyeru agar kita dapat bersama-sama mengekalkan nilai-nilai murni, merapatkan jurang budaya dan menyemai semangat kebersamaan dalam komuniti.
“Festival seperti ini hanyalah permulaan kepada usaha yang lebih besar dalam menjadikan Seberang Perai sebagai sebuah bandar raya yang bukan sahaja pintar dan hijau, tetapi juga kaya jiwa budayanya,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & DARWINA MOHD. DAUD
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT & AHMAD ADIL MUHAMAD