Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang dicadang sebagai acara antarabangsa 2019

Admin

GEORGE TOWN – Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang yang berlangsung pada 24 dan 25 Februari baru-baru ini mencatatkan sejarah dengan kehadiran 180,000 pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon Sdn. Bhd., Nur Izzati Khairudin berkata, sasaran awal pengunjung adalah seramai 100,000 orang sahaja.

“Pada hari pertama (24 Februari), hanya 50,000 pengunjung yang hadir ekoran hujan pada sebelah petangnya.

“Tetapi pada hari kedua, 130,000 pengunjung dicatatkan dan saya sendiri tidak pernah melihat seramai itu dengan keadaan padang (Padang Polo) yang penuh,” ujarnya pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini 26 Februari lalu.

Lebih bermakna, majlis perasmian penganjuran disempurnakan Tuan Yang di- Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri. Izzati dalam pada itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Penang Global Tourism (PGT), TLM Events Sdn. Bhd. serta rakan-rakan penaja lain kerana berterusan menyokong acara yang memasuki tahun keempat itu.

Sementara itu, Guan Eng pada h a r i pertama penganjuran berjanji akan berusaha lebih baik agar ianya menjadi pesta tahunan yang lebih rancak.

“Malah, tahun ini kita (Pulau Pinang) gembira menerima penyertaan dari sebuah Kerajaan Tempatan iaitu Taitung dari Taiwan.

“Jika di sini (Pulau Pinang) pesta belon ini hanya ber langsung selama dua hari, tetapi di Taitungia dilaksanakan selama dua bulan.

“Sudah tentunya kita perlu belajar daripada mereka, dan diharap selepas perbincangan akan ada berita baik yang akan diumumkan kemudian agar pesta ini dapat dilaksanakan lebih rancak dan hebat selaras dengan slogan Penang~Cun.

“Malah, saya rasa tahun hadapan, kita perlu tukar nama (acara ini) kepada Fiesta Belon Udara Panas Antarabangsa Pulau Pinang atau Penang International Hot Air Balloon Fiesta kerana kejayaan penganjurannya tahun ini,’’ ujarnya.

Pada penganjuran kali ini, terdapat 16 belon udara panas berbanding hanya 15, tahun lalu.

Pelbagai belon udara panas berwarna-warni dan bentuk menghiasi ruang udara di sini antaranya Owlbert Eyenstein, Pirate Parrot, watak filem Star Wars ‘Yoda’, Lit t le Dog bersempena Tahun Baru Cina, Busby dan Fire Engine.