PANTAI JEREJAK – Angkatan Koperasi Kebangsaan Wilayah Malaysia (Angkasa) Berhad menerusi My Ancasa Travel Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Strategik Eko-Marin bersama-sama Forest Eco Sdn. Bhd. dalam memperkenal ekopelancongan marin mampan di Pulau Pinang.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, MoU tersebut merupakan satu perjanjian ke arah cabang ekonomi baharu di Pulau Pinang dengan memanfaatkan kemudahan sedia ada dan alam semula jadi.
“Menerusi MoU tersebut, pihak terlibat akan bekerjasama memperkenal produk pelancongan berasaskan bot pelayaran dan ekopelancongan termasuk aktiviti sampingan yang lain.
“Saya berharap MoU ini mampu mewujudkan satu suasana ekonomi baharu yang mana pihak ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri) memberi suntikan dana sebanyak RM730,000.
“Maka, projek ini juga dilihat membantu ekonomi setempat,” ujarnya sejurus menyaksikan upacara menandatangani MoU berkaitan di sini pada 16 Ogos lalu.
Hadir sama, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah; Pengarah Eksekutif My Ansasa Travel Sdn. Bhd., Malik Faisal dan Pengerusi Forest Eco Sdn. Bhd., Alvin Poh.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad; wakil Jabatan Laut Pulau Pinang, Tourism Malaysia (Wilayah Utara), Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Pulau Pinang.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Abdul Fattah memberitahu bahawa pihaknya telah melabur RM2 juta bagi memulakan projek yang dikenali sebagai Tanjung Waterfront Harbour Cruise bertempat di pusat eko-marin, Forest Island.
“Kami sasarkan pulangan sebanyak lapan hingga 10 peratus dalam tempoh tiga tahun.
“Antara aktiviti yang disediakan di Forest Island adalah kayak, sukan air, pelayaran ke lokasi menarik, program pendidikan berasaskan ekopelancongan dan alam sekitar yang mana pakej bermula pada harga RM99.
“(Dan) bagi menjayakan projek tersebut, pihak kami turut membeli bot pelayaran dan katamaran yang dijangka bakal diterima pada Oktober ini, katanya.
Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI