Galeri Automotif Muzium Negeri Pulau Pinang perkukuh pemeliharaan warisan negeri

Admin
2caa42f8 059c 49e4 80ef fe34cef839e9

GEORGE TOWN – Penubuhan Galeri Automotif Muzium Negeri Pulau Pinang disifatkan sebagai satu pelaburan strategik jangka panjang Kerajaan Negeri dalam usaha pemeliharaan warisan, pendidikan serta pembangunan sosioekonomi negeri.

4cc59f2b 73d1 42e2 b51f 39047d571355
KETUA Menteri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa galeri berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkaya landskap permuziuman di samping memastikan sejarah serta memori kolektif Pulau Pinang terus dipelihara, didokumentasi dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Sektor pengangkutan dan mobiliti memainkan peranan penting dalam membentuk pembangunan Pulau Pinang, sama ada dari aspek pertumbuhan bandar, kegiatan ekonomi, interaksi sosial mahupun pembentukan identiti masyarakat.

“Justeru, galeri ini membawa naratif signifikan yang merakam evolusi pengangkutan yang telah menghubungkan manusia, idea, perdagangan dan budaya sejak sekian lama,” jelasnya semasa berucap pada Majlis Perasmian Galeri Automotif Muzium Negeri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

b5905e32 9488 4cd7 8a93 03fc18874bd2
GALERI berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkaya landskap permuziuman.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Mohamed Abdul Rahman dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Haryany Mohamad.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa Pulau Pinang kini berada pada fasa penting untuk mentransformasikan sistem mobiliti ke arah yang lebih pintar, mampan dan mesra rakyat.

“Kerajaan Negeri sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif pengangkutan awam seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, penambahbaikan perkhidmatan bas serta galakan penggunaan kenderaan elektrik (EV) selaras dengan agenda hijau nasional dan global.

“Galeri ini bukan sekadar melihat ke belakang, tetapi turut mengajak kita merenung ke masa depan iaitu bagaimana sejarah pengangkutan boleh menjadi panduan dalam merancang sistem mobiliti yang lebih lestari, inklusif dan berdaya tahan.

“Di samping itu, galeri ini turut menyumbang kepada agenda pembangunan pelancongan negeri dengan memperkayakan produk pelancongan budaya dan berasaskan ilmu, di samping berpotensi menjadi pemangkin ekonomi setempat serta merangsang aktiviti perniagaan di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town,” ujarnya yang merupakan ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

67f4c8b1 f856 4ed0 84cc 3b1c340bda45
WONG Hon Wai.

itu, Hon Wai menyatakan bahawa pembinaan Galeri Automotif Muzium Negeri Pulau Pinang merupakan antara inisiatif pembangunan berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bersama LMNPP bagi menyediakan sebuah ruang pameran tetap yang lebih sistematik, selamat dan berteraskan piawaian permuziuman antarabangsa.

“Sejajar dengan definisi muzium oleh International Council of Museums (ICOM), galeri ini bukan sekadar ruang pameran, sebaliknya berfungsi sebagai institusi pendidikan dan penyelidikan yang berkhidmat kepada masyarakat melalui pengumpulan, pemuliharaan, pentafsiran serta pameran warisan ketara dan tidak ketara.

“Dengan keluasan hampir 1,907 meter persegi, galeri ini dirancang secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek kebolehcapaian awam, keselesaan pengunjung, keselamatan koleksi serta nilai estetika yang selari dengan status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Justeru, saya yakin kewujudan (Galeri Automotif) akan melengkapkan rangkaian muzium sedia ada serta menjadi tarikan baharu pelancongan budaya, bukan sahaja kepada rakyat Pulau Pinang malah pelancong tempatan dan antarabangsa, selari dengan aspirasi Penang 2030,” tambahnya.

Difahamkan, antara tarikan utama galeri ini ialah koleksi kenderaan rasmi Gabenor pertama Pulau Pinang, Almarhum Raja (Sir) Tun Uda Al-Haj bin Raja Muhammad, selain koleksi kereta kuda milik Penang Turf Club yang dipelihara sebagai warisan rasmi negeri.

Koleksi tersebut bukan sahaja bernilai tinggi dari segi sejarah, malah mencerminkan simbol kenegaraan, status sosial serta perubahan gaya hidup masyarakat pada zamannya.

b5905e32 9488 4cd7 8a93 03fc18874bd2 01a62dfb 1cb6 49d2 8bad 0ec39f84973c 3a5e70ff 8af0 44ee 8021 d969ec839474 e1a5cdbc 783e 4557 953b b613be542666 c8f782e7 363d 487c a209 88ac2c033b5e33821675 013c 494b 88ac bbfde9f5d784 9973f78b 732d 4aba ba94 cc512db0772b

f9b28264 3b86 4aec 843a f0043c31d4c0

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : DARWINA MOHD. DAUD