Gangguan teknikal Penang Smart Parking selesai

SEBERANG JAYA – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memaklumkan bahawa gangguan terhadap aplikasi Penang Smart Parking (PSP) semalam bukan berunsur serangan siber.

 

 

Sebaliknya, katanya, gangguan tersebut adalah berpunca daripada kerosakan teknikal terhadap aplikasi tersebut.

 

 

“Selepas terjadi gangguan tersebut kita (Kerajaan Negeri) terus minta laporan (daripada pengendali sistem) dan mendapati tiada apa-apa cyber attack (serangan siber) ataupun cubaan menggodam seperti mana ditularkan.

 

 

“Ia adalah isu teknikal berkenaan baki sahaja, namun maklumat dalam pangkalan data tidak ada apa-apa yang mengganggu jumlah baki tersebut.

 

 

“Sekiranya ada pengguna yang dikenakan tindakan saman, boleh tampil ke hadapan kita akan bantu.

 

 

“Namun setakat yang diketahui, tiada tindakan saman dikenakan dalam tempoh gangguan tersebut berlaku,” ujar Jagdeep pada sidang media sejurus hadir pada pemasangan sensor internet benda (iOT) jenis kamera litar tertutup (CCTV) bagi petak PSP dekat Bandar PERDA pagi ini.

 

 

Hadir sama, pemangku Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Hei-Tech Padu Berhad, Abdul Halim Md. Lassim.

 

 

Dalam pada itu, Jagdeep tidak menolak dakwaan bahawa berlaku masalah-masalah teknikal sebelum ini, namun ia adalah hasil daripada kerja-kerja naik taraf bagi keselesaan pengguna.

 

 

“PSP sudah dinaik taraf sebanyak tujuh kali dan setiap kali naik taraf memang akan ada gangguan-gangguan kecil namun akan segera diselesaikan.

 

 

“Terbaru, PSP hari ini turut menggunakan CCTV sebagai salah satu kaedah menambah baik penyampaian PSP.

 

 

“Bagi tujuan memberikan perkhidmatan yang lebih kondusif kepada warga Pulau Pinang, penggunaan sensor alternatif (jenis kamera CCTV) ini akan mengguna pakai kamera yang berdefinasi tinggi dan dilengkapi dengan sistem kecerdasan buatan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

 

Difahamkan, pemasangan sensor alternatif jenis kamera CCTV ini akan dipasang di jalan-jalan di kawasan Seberang Perai yang dikategorikan sebagai jalan yang berisiko tinggi.

 

 

Sebagai rekod, sejak dilancarkan pada Ogos 2019, sebanyak 746,687 muat turun aplikasi direkodkan dengan 300,370 pengguna aktif.

 

 

Terdahulu, melalui laman Facebook Penang Smart Parking, pihak PSP memaklumkan bahawa urus niaga beroperasi seperti biasa mulai jam 6:00 pagi hari ini dan memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pengguna.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN