Bee Yoke tubuh tadika demi anak ‘main dan belajar’ secara seimbang

TONG Bee Yoke

QQ Kindergarten & Nursery (QQ) juga tak kurang hebatnya serta terkenal di negeri Pulau Pinang berbanding jenama tadika swasta lain yang diusahakan secara francais.

Menyorot sejarah penubuhan QQ bermula dengan tiga cawangan sahaja di Sungai Ara, Pulau Pinang serta Kulim dan Sungai Petani dekat negeri Kedah pada tahun 2006.

Kini, QQ mempunyai 12 cawangan taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) di seluruh Pulau Pinang ini termasuk dua cawangan di negeri Kedah.

QQ Cawangan Tasek Gelugor beroperasi di bangunan milik Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Lee Chee, Seberang Perai.

Di sebalik pencapaian itu, membawa Buletin Mutiara menjejaki pengasas perniagaan francais tersebut, iaitu Tong Bee Yoke yang juga merupakan Presiden Persatuan Peniaga Wanita Pulau Pinang (PWCC).

Menurut Bee Yoke, beliau juga seperti ibu-ibu lain yang senantiasa mencari sebuah tadika dengan suasana ‘bermain dan belajar’ secara seimbang buat anaknya.

SUASANA dalam tadika QQ di sini.

Bertitik-tolak daripada matlamat itulah, telah membawa Bee Yoke terjun dalam arena pendidikan peringkat awal perkembangan kanak-kanak.

“Asalnya saya tinggal di Kulim, Kedah, tetapi saya tidak dapat mencari satu taska dengan cara pengajaran yang saya mahu untuk anak saya.

“Kerana, saya berasa kanak-kanak semasa kecil memang sepatutnya mereka mahu ‘main dan belajar’, bukan banyak kerja sekolah atau berorientasi akademik semata-mata.

“Selepas mencari tadika yang ada elemen ‘main dan belajar’ (secara seimbang) tidak ada dan membosankan untuk kanak-kanak, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan buka sendiri sebuah tadika untuk anak saya di Kulim (semasa itu),” ujarnya kepada wartawan ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD ketika ditemui pada 20 Januari 2022.

Sesi bertemu ramah hampir 25 minit itu berlangsung di QQ Cawangan Tasek Gelugor di bangunan milik Persatuan Murid-Murid Tua Sekolah Lee Chee, Seberang Perai.

Bercerita lanjut, Bee Yoke memberitahu bahawa beliau merupakan graduan peringkat sarjana muda dari Universiti Sains Malaysia (USM), dalam bidang teknologi pada tahun 1994; serta pernah bekerja sebagai pegawai penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sebuah syarikat multinasional dari negara Jepun.

Kerjayanya itu turut mendedahkan pelbagai pengalaman mengenai dunia korporat serta pendidikan dari negara yang terkenal dengan jolokan ‘matahari terbit’.

Beberapa tahun bekerja dalam sektor korporat turut membuka peluang beliau melanjutkan pengajian peringkat sarjana pentadbiran perniagaan serta menggenggam ijazah dari Universiti Herriot Watt pada tahun 1999.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, beliau turut melanjutkan pengajian ke peringkat diploma psikologi kanak-kanak dari Universiti Utara Malaysia (UUM) kemudiannya.

Berbekalkan semangat untuk mewujudkan sebuah tadika yang benar-benar ada elemen ‘main dan belajar’ secara seimbang; di samping melanjutkan pengajian dalam beberapa bidang, Bee Yoke bersama-sama dua rakan kongsi lain menubuhkan QQ Holistic Education Program Sdn. Bhd. dengan cawangan di Kulim, Sungai Petani dan Pulau Pinang pada tahun 2006.

“Saya memang mahu kanak-kanak yang belajar di QQ ini boleh ekspresi diri mereka.

“Kerana itu, QQ ini berdiri atas empat tonggak yang menjadi falsafah utama dalam semua cawangan taska da tadika kami iaitu ‘belajar untuk tahu’, ‘belajar untuk buat’, ‘belajar untuk hidup bersama’ dan ‘belajar untuk menjadi (insan sempurna)’.

“Kita mahu mereka yang berlajar di QQ ini kerana mereka mahu belajar, bukan untuk lulus peperiksaan akademik semata-mata.

“Kerana dalam masyarakat kita berbilang kaum, kami di QQ mendidik para pelajar untuk boleh hidup dengan kawan-kawan yang berbilang kaum dan budaya, juga dalam umur yang berbeza.

“Kanak-kanak di sini juga diasuh untuk berdikari dan tidak terlalu bergantung pada orang di sekeliling.

“Kita juga nak kanak-kanak di sini diasuh untuk menjadi insan sempurna seperti ada pegangan moral yang tinggi dan boleh saling menghormati orang lain,” jelasnya lagi.

Pun begitu, Bee Yoke memberitahu bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lepas sedikit banyaknya memberi pelbagai cabaran pada kesemua 12 cawangan QQ yang masih ‘bertahan’ hingga kini.

“Pelbagai cabaran, dengan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan, bilangan kanak-kanak di cawangan QQ tertentu  merosot 50 peratus, semasa PKP.

“Semua cawangan QQ, cikgu terlatih ada pelbagai bangsa yang mana cikgu berbangsa Melayu mengajar bahasa Melayu, cikgu berbangsa India mengajar bahasa Inggeris dan cikgu berbangsa Cina mengajar bahasa Cina,” jelasnya sambil memberitahu bahawa beliau bersyukur kerana rangkaian yang diusahakannya masih mempunyai antara 40 hingga 50 tenaga pengajar terlatih.

SESI pembelajaran secara fizikal dalam salah sebuah kelas adalah mengikut SOP berkaitan.

Mengambil kira sektor ekonomi yang kian dibuka secara berperingkat ketika ini, Bee Yoke berkata pihaknya berharap dapat memperkasakan kembali program asuhan berkaitan demi memenuhi -kriteria-kriteria di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Kalau silibus tadika, semua berpandukan silibus yang disediakan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri).

“Tetapi, apa yang lebih penting selain silibus akademik ini, turut diterapkan pengetahuan luar dalam kalangan kanak-kanak di QQ.

“Salah satu silibus tambahan yang diterapkan adalah SDG…saya ada tulis program SDG untuk kanak-kanak yang mereka perlu didedahkan sejak dari kecil mengenai kesamarataan gender, air selamat dan terawat, kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti, bandar dan komuniti mampan dan sebagainya.

“Di samping itu juga, daripada kecil kanak-kanak ini akan didedah mengapa perlu kitar semula segala barang.

“Mereka juga akan dibawa melawat pasar serta belajar daripada kemuniti di pasar mengenai jenis sayur-sayuran; akan belajar daripada pegawai polis dan bomba di balai mengenai kelengkapan yang ada di sana dan sebagainya,” katanya sambil memberitahu bahawa proses ‘main dan belajar’ tidak terhad dalam bangunan tadika sahaja.

Mengakhiri temu ramah, Bee Yoke berharap sistem pendidikan pada peringkat taska dan tadika boleh segera kembali dilaksanakan secara fizikal seperti dahulu.

“Selepas habisnya PKP, pendidikan di taska dan tadika jangan lagi secara dalam talian (dengan kaedah pengajaran dan pembelajar di rumah, PdPR).

“Asas perkembangan asuhan kanak-kanak di tadika dan taska mesti secara fizikal juga, baru mereka boleh dibantu untuk perkembangan pendidikan mereka mengikut kaedah ‘main dan belajar’ sebagaimana di negera-negara maju tertentu,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Buletin Mutiara.

END