Ganjaran kredit menerusi e-dompet jika penjawat awam MBPP amal Program Insentif Hijau

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mungkin merupakan pihak berkuasa tempatan pertama dalam negara yang memperkenalkan Program Insentif Hijau kepada kira-kira 3,000 kakitangannya dengan mengkreditkan duit ke dalam akaun e-dompet sekiranya mereka mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga alam sekitar.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, program yang julung kali diperkenalkan dalam perkhidmatan kerajaan itu adalah untuk mendorong penjawat awam mengamalkan kehidupan yang sihat dan mesra alam.

“Berbasikal untuk ke tugasan rasmi umpamanya, boleh menuntut RM1 bagi setiap kilometer (km) dengan RM300 kadar tuntutan bayaran bulanan mulai bulan Oktober ini.

“Tidak cukup dengan itu, pinjaman tanpa faedah sehingga RM4,000 dengan tempoh bayaran balik tiga tahun turut ditawarkan kepada kakitangan bagi tujuan membeli basikal.

“Kakitangan MBPP yang langsung tidak menggunakan perbelanjaan perubatan tahunan layak menerima insentif RM200 menerusi e-dompet, selain kredit RM100 kepada mereka tidak pernah mengambil cuti sakit.

“Begitu juga kakitangan yang memilih pengangkutan awam untuk tugas-tugas (rasmi), tidak kira sama ada sebab masalah kewangan ataupun tiada kenderaan ataupun sebab nak menjaga alam sekitar, layak menuntut subsidi 50 peratus fi tambang bas,” jelasnya kepada pemberita di bangunan hotel eksekutif, M Summit 191 pada 26 September 2020.

Mengulas lanjut, Tung Seang memaklumkan bahawa di bawah Program Insentif Hijau ini, pentadbirannya berhasrat untuk memantapkan lagi perancangan infrastruktur antaranya termasuk menyediakan stesen parkir dan penunggang, rak letak basikal, bilik persalinan dan laluan khas basikal serta kafeteria makanan sihat.

“Selain itu, MBPP juga berhasrat untuk saling kolaborasi dengan kedai basikal tempatan demi menjayakan kesemua komponen di bawah Program Insentif Hijau ini.

“MBPP akan terus menerajui usaha untuk mencapai (status) Bandar Raya Pintar, Mampan dan Sejahtera melalui inisiatif hijau dan mampan,” jelasnya lagi.

Sebelum itu, Tung Seang menyampaikan ucapan perasmian dalam telesidang berkaitan pelan indeks bangunan hijau (GBI) peringkat bandar raya yang dikenali sebagai ‘GBI Pro: Green Building, Green Cost’ di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN