Garis panduan lebih komprehensif tangani isu warga asing salah guna lesen perniagaan

Admin
img 20251119 wa0081

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewujudkan garis panduan komprehensif yang menggabungkan syarat-syarat dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam menangani isu penyalahgunaan lesen perniagaan oleh warga asing.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, langkah itu juga bertujuan mengawal penglibatan warga asing dalam sektor perniagaan di negeri ini.

“Garis panduan yang diguna pakai adalah Garis Panduan Kawalan Aktiviti Perniagaan untuk Pengusaha Warga Asing Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Tahun 2017 dan Garis Panduan Keterlibatan Pekerja / Pembantu di Pusat Penjaja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Premis Perniagaan dan Penjaja Tahun 2020.

“Kedua-dua garis panduan ini akan memastikan hanya individu yang layak dan mematuhi undang-undang sahaja dibenarkan bekerja atau membantu dalam perniagaan.

“Selain itu, dasar yang telah ditetapkan dalam garis panduan tersebut turut dijadikan sebagai syarat-syarat pelesenan bagi premis perniagaan di kawasan PBT.

“Kedua-dua PBT sentiasa mengambil langkah proaktif untuk menyemak dan mengemas kini garis panduan sedia ada mengikut keperluan semasa bagi memastikan penguatkuasaan yang dilaksanakan lebih efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 19 November 2025.

Mengulas lanjut, Mooi Lye memberitahu bahawa di bahagian pulau, pihak MBPP menetapkan bahawa setiap permohonan lesen perniagaan mestilah dikemukakan oleh warga tempatan dan tertakluk kepada pendaftaran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Pihak MBPP juga sentiasa menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan lesen perniagaan tidak dipajakkan kepada warga asing dan memastikan pekerja barisan hadapan hanya diisi oleh warga tempatan seperti yang ditetapkan dalam syarat lesen.

“Langkah-langkah ini diambil bagi memastikan aktiviti perniagaan di Pulau Pinang kekal dikawal selia dengan baik dan tidak dieksploitasi oleh warga asing melalui perkahwinan dengan rakyat tempatan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.

Di kawasan Seberang Perai pula, Mooi Lye menjelaskan bahawa MBSP bertindak melarang sepenuhnya penglibatan pekerja atau pembantu bukan warganegara termasuk pasangan warga asing dalam aktiviti kedai runcit.

“Bagi jenis perniagaan lain, pihak MBSP membenarkan pasangan bukan warganegara membantu atau mengendalikan perniagaan bagi pihak pasangan rakyat tempatan.

“Namun, perkara itu tertakluk kepada syarat pelesenan iaitu jumlah pekerja atau pembantu bukan warganegara (termasuk pasangan) mestilah tidak melebihi 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja.

“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap syarat ini, MBSP akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas seperti pengeluaran notis, kompaun atau pembatalan lesen perniagaan,” tegasnya.

Mooi Lye turut memaklumkan bahawa MBSP juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menangani isu tersebut yang terdiri daripada SSM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JIM.

“Jawatankuasa Khas ini bertanggungjawab membincangkan dan meneliti dasar berkaitan penglibatan warga asing dalam sektor perniagaan secara berkala dan bersepadu.

“Pihak MBPP juga akan menyusuli penubuhan jawatankuasa tersebut tertakluk kepada kesesuaian pelaksanaannya pada peringkat MBPP,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN & DARWINA MOHD. DAUD