Garis Panduan MPKK mantapkan tadbir urus, selesai isu berbangkit dan tindakan lebih fokus

photo 2025 09 04 16 44 22

GEORGE TOWN – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pulau Pinang pada 13 Ogos 2025 telah meluluskan Cadangan Pemantapan Pengurusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Pulau Pinang yang akan berkuat kuasa pada Oktober 2025 dengan beberapa pindaan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berharap garis panduan dapat meningkatkan kefahaman semua ahli MPKK terhadap peranan dan tanggungjawab bagi memantapkan tadbir urus, menyelesaikan isu-isu berbangkit dengan tindakan yang lebih berfokus.

“Antara garis panduan tersebut adalah mengenai pelantikan MPKK untuk tempoh dua tahun sebelum ini kepada tempoh perkhidmatan bermula tarikh lantikan yang diluluskan MMKN sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tamat tempoh atau dibubarkan, yang mana terlebih dahulu.

“Kedua, jawatan baharu iaitu bendahari diwujudkan bagi memperkemas pengurusan kewangan dan pelaporan perbelanjaan yang lebih telus oleh MPKK menggantikan Biro Kewangan.

“Ketiga, sebagai usaha meningkatkan taraf perkhidmatan MPKK, syarat minimum bagi jawatan Setiausaha MPKK perlu memenuhi syarat sekurang-kurangnya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Namun cadangan ini hanya terpakai kepada lantikan baru Setiausaha MPKK dan tidak terpakai kepada Setiausaha sedia ada,” ujarnya pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Tadbir Urus MPKK Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang tengah hari tadi.

photo 2025 09 04 16 44 25

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri terlibat.

Tambahan daripada itu, Mohamad selaku Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat mahu setiap MPKK mewujudkan pelan operasi standard pengurusan bencana memandangkan organisasi tersebut antara badan terawal akan bertindak sekiranya berlaku sebarang insiden dalam komuniti.

“Keberkesanan MPKK dapat dinilai berdasarkan cara mengendalikan aduan, termasuk kecepatan tindak balas dan kaedah penyelesaian masalah yang diterapkan.

“(Dan) Kerajaan Negeri mahu memperkasakan semula penggunaan sistem e-MPKK kerana terdapat beberapa perkara telah ditambah baik dan penggunaan sistem tersebut diperluas kepada ahli MPKK, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Penyelas KADUN,” katanya lagi.

Oleh :WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : PEJABAT TKM I