Gelanggang bola keranjang Lebuh Acheh capai tahap antarabangsa

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Hampir 12 pasukan berentap pada Pertandingan Bola Keranjang 5 on 5 yang julung kalinya diadakan dekat gelanggang bola keranjang Lebuh Acheh di sini baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Kolam bersama-sama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng tersebut cuba menampilkan kelainan dengan suasana persekitaran
gelanggang yang unik dan cantik.

Lai Heng berkata, gelanggang tersebut adalah pentas dan peluang kepada para pemain bola keranjang di Pulau Pinang. “Dengan peruntukan hampir RM100,000, gelanggang ini dibina mengikut saiz piawaian yang memenuhi tahap pertandingan bertaraf antarabangsa.

“Bagi menjadikannya lebih unik, papan jaringan tidak dipasang secara statik atau tetap, sebaliknya ia boleh digerak mengikut keperluan semasa.

“Saya percaya bahawa ini adalah satu-satunya gelanggang terbuka di Pulau Pinang yang mempunyai keistimewaan berkenaan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Gelanggang Bola Keranjang dan Pertandingan Bola Keranjang 5 on 5 di Lebuh Acheh baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Pengerusi JKKK Kampung Kolam, Quah Peng Eow, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Tay Leong Seng dan S. Sukumar.

Pada pertandingan tersebut, kumpulan Syeders dinobatkan sebagai Juara dengan menewaskan pasukan Han Chiang dengan jaringan gol sebanyak 14-12.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing milik pasukan Suzaku dan Heng Ee. Tambah Lai Heng, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha melaksanakan pembangunan menyeluruh bagi mempertingkatkan ekonomi setempat ke tahap yang lebih tinggi.

Gelanggang dibuka secara percuma. Sebarang tempahan sila hubungi JKKK Kampung Kolam di talian 019 – 447 4863.