KN rai penggiat industri

Admin

Meraikan… Seramai 200 penggiat industri dari sektor-sektor elektronik, pembuatan, pengkomputeran, pemaju hartanah, makanan dan lain-lain di negeri ini diraikan pada majlis makan malam anjuran khas badan pengurusan pelaburan negeri, investPenang (iP).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir menyatakan bahawa majlis tersebut dapat mengeratkan hubungan penggiat-penggiat industri dengan Kerajaan Negeri terutamanya dalam memajukan sektor masing-masing.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif.

Pada sesi tersebut, para penggiat industri diberi peluang untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang berkait dengan pembangunan sektor industri di negeri ini.

Antara soalan yang diajukan adalah mengenai kesesakan lalulintas, pengangkutan awam, keselamatan serta masalah komunikasi talian internet.