Gembleng Persatuan Bomba dan Sukarela bantu kawasan kediaman hadapi gangguan bekalan air – Exco Kebajikan

Admin
PHEE Boon Poh

GEORGE TOWN – Gabungan Persatuan Bomba dan Sukarela Pulau Pinang akan digemblengkan ke kawasan yang dikenal pasti terjejas dek gangguan bekalan air terawat selama 48 jam pada 2 hingga 4 Disember depan, berikutan rancangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menghentikan operasi sebahagian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua nanti.

Mengulas lanjut, Exco Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh berkata pihaknya turut melantik dua wakil bagi setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) sekitar Seberang Perai untuk membantu sebagai ejen pengantara bagi memastikan bekalan air bersih boleh dihantar ke kawasan rumah penduduk yang terjejas.

“Penduduk boleh terus menghubungi wakil-wakil yang telahpun dilantik, wakil-wakil kita akan terus berurusan dengan jawatankuasa sementara yang kita tubuhkan ini, bagi penghantaran bekalan air bersih kep kawasan penduduk yang terjejas, dengan menggunakan kenderaan Persatuan Bomba dan Sukarela.

“Kita (peringkat jawatankuasa sementara) juga turut menyediakan lima kenderaan tambahan Persatuan Bomba dan Sukarela, untuk bersiap siaga sekiranya ada kawasan memerlukan lebih banyak bekalan air terawat sepanjang tempoh 48 jam gangguan bekalan air nanti,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu di kafeteria Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 24 November 2022.

Semalam, PBAPP dilaporkan memaklumkan henti tugas sebahagian LRA Sungai Dua itu bagi membolehkan kerja penggantian injap berdiameter 1350 milimeter (mm) dan 1200mm yang rosak di loji itu dapat dilaksanakan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING