PDC akan terus bangunkan ‘kawasan industri baharu’ Batu Kawan – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan terus membangunkan Batu Kawan dengan taman-taman perindustrian yang baharu.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini pada 24 November 2022.

“PDC buat masa ini sedang giat membangunkan Taman Perindustrian Batu Kawan, Batu Kawan Timur dan Selatan Penang Science Park.

“Taman-taman perindustrian baharu ini akan menambah jumlah kawasan perindustrian seluas 1,800 ekar sekali gus menarik minat pelabur asing terutamanya pelabur tempatan seawal pengoperasiannya pada suku pertama tahun 2023,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Menurut Kon Yeow, sejak tahun 2018 pentadbirannya turut berusaha melaksanakan pembangunan seimbang antara bahagian pulau dan Seberang Perai termasuk kawasan Batu Kawan, berpandukan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030) yang telah diwartakan pada 24 Oktober 2019.

“RSNPP 2030 ini diterjemahkan oleh Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dalam bentuk peta cadangan guna tanah serta pelan-pelan tindakan terperinci.

“Tata cara proses penyediaan RT dan RKK telah mengambil kira semua input yang melibatkan data penduduk terkini, keadaan fizikal dan aktiviti semasa guna tanah dan diunjurkan mengikut pola (trend) pembangunan semasa sehingga tahun 2030,” ujarnya.

Berikut adalah kaedah pembangunan negeri melalui PDC;

• Pelan Strategik PDC yang memfokuskan kepada pertumbuhan kawasan pembangunan baharu berorientasikan ‘Bandar Hijau dan Pintar’ dan peningkatan nilai aset serta penggerak bagi inisiatif Kerajaan Negeri yang seimbang;

• Pelan Induk Pembangunan Bandar Cassia yang melibatkan kombinasi pembangunan bercampur dan bersepadu melibatkan perumahan, komersial, pendidikan, perubatan dan perindustrian;

• Perancangan pembangunan di Bandar Cassia Technology Park (BCTP) dan Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP 3) bagi memastikan penawaran tanah perindustrian kepada pelabur mencukupi untuk “promoted industries” yang terdiri daripada ‘Electrical & Electronics (E&E), Electronics Manufacturing Services (EMS), Light Emitting Diodes (LED), Medical Devices, Aerospace, Semiconductor, Automotive’ dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan;

• Kajian pembangunan Penang Science Park South (PSPS) sebagai kawasan untuk industri am dan makanan (hab halal). Pembangunan hab logistik melibatkan sebahagian tanah BKIP 3 dan PSPS; dan

• Penekanan kepada konsep Environmental Social Governance (ESG) dan Sustanainable Development Goals (SDG) dalam peringkat perancangan guna tanah di kawasan pembangunan Kerajaan Negeri melalui PDC. Elemen “work, live, learn, and play” serta “green, safe, and smart” di kawasan pembangunan baharu bagi memastikan ekosistem, sosial, fasiliti dan peluang pekerjaan mengikut reformasi pasaran dan revolusi pembangunan hartanah seiring dengan konsep ESG dan SDG.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & LAW SUUN TING
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI