GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap projek menaik taraf jalan sekitar Lebuh Pantai, Pesara King Edward, Pengkalan Weld dan Gat Lebuh Chulia akan meningkat lagi daya tahan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town tersebut.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa pihaknya berharap projek yang dilaksanakan di bawah program strategik, Nature-Based Climate Adaptation Programme for the Urban Areas of Penang Island (PNBCAP) tersebut turut melaksanakan penyelesaian berdasarkan alam semula jadi di kawasan warisan tersebut.

“Dengan peruntukan kos sebanyak RM24.726 juta, projek menaik taraf jalan di sekitar kawasan terlibat ini merupakan salah satu komponen utama PNBCAP serta menjadi contoh cemerlang pelaksanaan penyelesaian berasaskan alam semula jadi di kawasan warisan.
“Tujuan utama di sebalik projek-projek yang dilaksanakan (di bawah PNBCAB) ini adalah untuk mengurangkan impak kepanasan suhu akibat daripada perubahan iklim.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan daya tahan infrastruktur awam, malah turut memastikan nilai sejarah serta seni bina George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO terus terpelihara,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis berkaitan di Pesara King Edward dekat sini pada 1 November 2025.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa projek di bawah PNBCAP berkaitan adalah lambang komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperkukuh daya tahan bandar melalui pembangunan yang lestari, inklusif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat sejajar dengan inspirasi Visi Penang2030.
Difahamkan, PNBCAP merupakan program strategik bersepadu hasil kerjasama erat antara World Bank Adaptation Fund, UN-Habitat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, MBPP, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Think City Sdn. Bhd. (Think City).
Mengulas lanjut, kon Yeow berkata bahawa Program PNBCAP tersebut bertujuan memperkukuh pelaksanaan Inisiatif D4 Visi Penang2030 dengan memberi tumpuan kepada tindakan nyata di lapangan, khususnya melalui reka bentuk bandar adaptif berasaskan alam semula jadi (nature-based design).
Sementara itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari antara lain menyatakan bahawa di bawah PNBCAP terdapat 16 komponen projek fizikal dalam pelbagai peringkat pelaksanaan termasuk relah siap, yang dimulakan sejak tahun 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027.
Turut berucap, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan Pengurus Projek UN-Habitat Malaysia, Dr. Kwan Soo Chen.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; dan ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT