PADA 3 Mac ini, Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan Program Falak Outreach bagi mencerap gerhana bulan penuh di Masjid Bukit Bendera.

Menurut Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Islam, Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, USTAZ JAMIL NORDIN, lokasi cerapan ditentukan berdasarkan kedudukan ufuk yang membolehkan gerhana tersebut dilihat dengan jelas.
“Program ini dinamakan Falak Outreach, iaitu untuk mendedahkan ilmu falak dan fenomena berkaitan bulan purnama kepada masyarakat.
“Lokasi ini ditentukan berdasarkan faktor kebolehnampakan, seperti tahun lepas, kita adakan di Masjid Negeri dan kali ini kita pilih Masjid Bukit Bendera kerana kedudukannya lebih jelas.
“Kita jangka gerhana penuh akan berlaku tepat pada jam 7.33 petang sebagai waktu kemuncak dan berakhir pada jam 9.17 malam,” ujarnya ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI, di Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pagi tadi.
Jamil turut memaklumkan bahawa fasa awal gerhana bulan penuh bermula pada jam 5.50 petang, namun ketika itu kedudukannya masih berada di bawah ufuk dan tidak dapat dilihat.

Tambah beliau, gerhana bukan sahaja dilihat dari sudut sains semata-mata, sebaliknya mengandungi ibrah (pengajaran) kepada umat Islam.
“Gerhana mengingatkan kita bahawa semua makhluk taat kepada Allah S.W.T.
“Sebagaimana bumi mengelilingi matahari dan bulan mengelilingi bumi tanpa pernah berlaku kecacatan. Sekiranya berlaku gangguan, nescaya kita akan berdepan dengan bencana.
“Tambahan pula, gerhana berlaku dalam bulan Ramadan, yang mana kita disunatkan untuk bersedekah, mandi sunat dan menunaikan solat sunat ketika waktu kemuncak.
“Memandangkan waktu kemuncak hampir dengan waktu Maghrib, solat sunat gerhana akan diadakan sejurus selepas solat Maghrib,” tambah beliau.
Selain itu, pihaknya melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) turut memaklumkan kepada semua masjid dan surau di Pulau Pinang supaya mengadakan solat sunat gerhana pada waktu tersebut.
Dalam menjayakan program ini, pihak penganjur turut bekerjasama dengan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP); Masjid Bukit Bendera; Universiti Sains Malaysia (USM); Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Pulau Pinang serta Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).
“Pengisian lain termasuk majlis berbuka puasa dan solat tarawih, manakala gerhana dijangka tamat pada jam 9.17 malam,” katanya.
Orang ramai turut digalakkan hadir bagi memahami fenomena gerhana menurut perspektif Islam.