Guan Eng kesal PM tolak hasrat Menteri perbesar PIA, harap lihat sudut kepentingan nasional

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa kecewa kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih menolak permohonan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Berdasarkan laporan statistik semasa, Guan Eng mememberitahu, pengunjung PIA pada hujung tahun ini dijangka melebihi 6.6 juta, iaitu melebihi 6.5 juta kapasisti maksimum lapangan terbang tersebut (PIA) pada tahun 2020.

“Lapangan terbang yang melebihi kapasiti, dia (Kerajaan Pusat) tidak mahu perbesarkan, lapangan terbang lain yang tidak melebihi kapisiti pengunjung, dia pula memperbesarkan.

“Ini adalah satu tindakan diskriminasi ke atas Pulau Pinang, dan Kementerian Pengangkutan pun akui mereka ada cadangan untuk memperbesarkan lapangan terbang sampai mencapai kapasiti maksimum 10 juta penumpang, tapi ditolak, ” jelasnya kepada pemberita, sambil enggan menyebut lapangan terbang lain yang dimaksudkannya itu pada sidang media bertarikh 29 November lalu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian ketika mengulas laporan berita atas talian, The Malaysian Reserve berjudul Penang Airport Expansion Not In Near Future pada 22 November lalu.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut mempertikai tindakan pentadbiran Najib yang dikatakan meluluskan peruntukan untuk lapangan terbang lain yang masih tidak mencapai kapasiti maksimum penumpang, tetapi pada masa sama berdalih Kerajaan Pusat tiada dana untuk memperbesarkan PIA.

Difahamkan, jumlah pengunjung PIA pada tahun 2015 adalah melebihi 6.2 juta, dan dijangka meningkat hampir 6 peratus, menjadi 6.6 juta pada 31 Disember tahun ini, jika berdasarkan Laporan statistik yang dikeluarkan Malaysian Airports Berhad (MAB) pada 8 November lalu.

Malah, laporan statistik MAB pada 8 November lalu turut mendedahkan, jumlah pengunjung dalam tempoh bulan Januari hingga September tahun ini meningkat 5.87 peratus menjadi 4,916,069 orang, berbanding tempoh sama tahun 2015 (4,643,507).

Terdahulu, The Malaysian Reserve antara lain melaporkan, kementeriannya memang ada memohon peruntukan projek pembesaran PIA untuk Pusingan Kedua (Second Rolling Plan) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM), namun ditolak.

Laporan berita atas talian itu turut memberitahu, Tiong Lai menjelaskan cabaran kewangan yang dihadapi oleh Kerajaan Pusat antara sebab projek pembesaran PIA ditangguhkan.