Guan Eng ulangi jaminan pelaksanaan SST mampu kurangkan beban rakyat

Admin
  • PERAI – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengulangi jaminan bahawa pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mampu mengurangkan beban rakyat berbanding Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Walau bagaimanapun katanya, beliau tidak memberikan jaminan sekiranya pelaksanaan cukai tersebut juga mampu menurunkan harga barangan serta perkhidmatan.

“GST ternyata membebankan rakyat kerana kebanyakan barangan dikenakan bayaran (cukai) berbanding SST yang merupakan cukai satu peringkat yang mana hanya 6,405 barangan dikenakan cukai, manakala 5,443 barangan lagi dikecualikan cukai.

“Di bawah SST, kita (Kerajaan) akan mengutip hasil sebanyak RM21 bilion berbanding era GST (RM44 bilion), iaitu Kerajaan kekurangan hasil sebanyak RM23 bilion.

“Tidak mengapa jika Kerajaan peroleh kurang pendapatan asalkan kuasa beli rakyat dapat ditingkatkan,” jelas Guan Eng pada sesi taklimat berkaitan cukai SST dekat Hotel Ixora di sini sebentar tadi.

Tambah beliau, hasil kutipan SST akan diuruskan secara bertanggungjawab oleh Kerajaan sedia ada dengan memberi fokus kepada projek-projek yang memberi kepentingan kepada rakyat.

“Pelaksaan SST tidak boleh ditangguhkan lagi kerana jika kita tidak laksana, kewangan negara akan defisit, dan kita (Kerajaan) tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar gaji kakitangan awam.

“Namun, selain mengimplementasi pendekatan lebih mesra, hasil kutipan SST juga akan dibelanjakan dengan bersih untuk rakyat dan bukannya untuk membeli kapal, beg tangan mewah atau cincin,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Turut berlangsung, sesi soal jawab yang menampilkan Penasihat Menteri Kewangan, Datuk Ooi Kok Seng sebagai moderator dan tiga panelis terdiri daripada Guan Eng (panel 1); Timbalan Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Paddy Abd. Halim (panel 2) serta Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Saidi Ismail (panel 3).

Kebanyakan soalan yang dikemukakan lebih tertumpu kepada jenis-jenis perkhidmatan yang perlu didaftarkan di bawah cukai SST selain kaedah pelaksanaan serta undang-undang yang perlu dipatuhi oleh para peniaga.

Sebagai rekod, SST dilaksanakan semula bermula hari ini (1 September) mengantikan rejim GST yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional sejak dua tahun lalu.

Teks & gambar : SUNARTI YUSOFF