BUKIT TAMBUN – Sempena sambutan Hari Guru 2026, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik berkesempatan turun padang mengunjungi beberapa sekolah di kawasan Bukit Tambun sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga pendidik dalam mendidik generasi masa depan negara.
Choon Aik yang juga EXCO Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat berkata, guru memainkan peranan besar bukan sahaja dalam menyampaikan ilmu pengetahuan, malah membentuk sahsiah, nilai murni serta semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, tema sambutan Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Bitara, Nadi Negara’ amat bertepatan dalam mengiktiraf sumbangan golongan pendidik sebagai tunjang utama pembangunan negara.
Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, malah memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, nilai murni, semangat patriotisme serta pemikiran kritikal dalam kalangan generasi muda.
“Jasa dan pengorbanan guru perlu terus dihargai kerana mereka merupakan individu yang banyak mencorakkan masa depan negara melalui pendidikan berkualiti dan pembentukan modal insan,” katanya ketika berucap dalam siri lawatan tersebut baru-baru ini.

Dalam lawatan berkenaan, beliau mengunjungi empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), empat Sekolah Kebangsaan (SK), tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan dua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di sekitar Bukit Tambun.
Jelasnya, lawatan itu bukan sekadar menyampaikan ucapan Selamat Hari Guru, malah bertujuan menghargai komitmen para guru yang terus gigih mendidik anak bangsa walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa.

Sebagai simbolik penghargaan, beliau turut menyampaikan kek bertemakan ‘Hari Guru’ kepada pihak sekolah selain sumbangan kecil berupa sampul duit raya kepada para guru.
Antara sekolah yang menerima kunjungan sempena sambutan tersebut adalah SK Bakap Indah, SK Taman Merak, SK Bukit Tambun, SK Batu Kawan, SJKC Kampung Valdor, SJKC Chong Kuang, SJKC Keng Koon, SJKT Ladang Valdor, SJKT Batu Kawan, SMK Valdor, SMK Mutiara Impian, SMK Simpang Empat dan SMK Batu Kawan.

Gambar : ADUN