Gusar isu pelajar cicir, TKM I minta MAINPP perkasa Mutiara PDCA tangani isu 3M

Admin
5b36e880 f218 4f46 9f4f 0cbcf3b96b22 MOHAMAD Abdul Hamid berucap merasmikan Majlis Taklimat Guru-Guru Penyelaras Mutiara PDCA (Progran Didik Cemerlang Akademik) Sesi Tahun 2025 di Hotel Ixora, Seberang Jaya pada 4 Ogos 2025.

SEBERANG JAYA – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan terus memberi tumpuan pada isu keciciran pelajar berusia 12 tahun dan ke bawah di negeri Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata demikian semasa merasmikan Majlis Taklimat Guru-Guru Penyelaras Mutiara PDCA (Progran Didik Cemerlang Akademik) Sesi Tahun 2025 di Hotel Ixora, Seberang Jaya pada 4 Ogos 2025.

“Isu yang melibatkan 3M iaitu pelajar tak boleh membaca, mengira dan menulis, pada angka 2 peratus atau sekitar 4,500 orang pada masa ini.

“Bolehkah kita terima dalam keadaan Pulau Pinang cuba berusaha untuk menjadi negeri pintar menjelang tahun 2030, masih ada ribuan pelajar masih hadapi isu 3M.

“Agak menggusarkan dari data yang diperoleh ini, lebih 50 peratus yang menghadapi isu 3M ini adalah pelajar Melayu dan beragama Islam.

“Maka, saya minta MAINPP perlu beri perhatian sebagaimana yang telahpun diambil perhatian oleh JPN (Jabatan Pendidikan Negeri),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Di samping itu, Mohamad memberitahu bahawa pada 8 Julai lalu, pejabat beliau telah berjaya mengadakan sesi libat urus antara JPN Pulau Pinang untuk meneliti pencapaian pendidikan secara menyeluruh di negeri ini.

Tidak sekadar itu sahaja, Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada beberapa agensi seperti MAINPP; Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Bahagian Penyelaras Program (ICU BPP) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) atas penajaan Mutiara PDCA.

“Program Mutiara PDCA ditubuhkan dengan matlamat untuk mengelakkan keciciran akademik dalam kalangan pelajar bumiputera, sama ada di sekolah rendah atau menengah.

“Hari ini, semua sekolah di Pulau Pinang telah menerima manfaat daripada program ini melalui penajaan langsung,” ujarnya.

1dc62cd2 6b4e 45f3 b19d 71bb909bac6a
SEKALIAN pentadbir sekolah dan guru bertauliah yang terlibat sebagai guru penyelaras Mutiara PDCA yang hadir dalam majlis berkaitan anjuran MAINPP di sini pada petang ini.

Setakat ini, difahamkan, sebanyak 71 sekolah rendah dan 35 sekolah menengah – termasuk sekolah menengah agama – menerima manfaat tajaan Mutiara PDCA di bawah kelolaan MAINPP.

Pelajar yang terlibat dalam program ini dibekalkan modul pembelajaran, kelas tambahan, kem pemantapan serta bengkel teknik menjawab peperiksaan secara percuma.

Untuk tahun 2025, Mohamad memaklumkan bahawa program tuisyen Tahun 6 masih mengekalkan fokus kepada empat subjek teras: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Manakala bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohamad memberitahu bahawa sebanyak 13 subjek ditawarkan, termasuk tiga subjek Kurikulum Bersepadu Dini khusus untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

“(Dan) dengan adanya pelaksanaan program seperti Mutiara PDCA, kita mahu anak-anak bumiputera bukan sahaja berjaya dalam akademik, tetapi juga mampu bersaing secara sihat dan bermaruah bersama kaum-kaum lain,” tegas beliau kepada kelompok pentadbir dan guru-guru bertauliah yang hadir dalam majlis tersebut.

Setiausaha Majlis bagi MAINPP, Dato’ Rosidi Hussin turut berucap pada majlis tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT