Had laju 40 km/j Jalan Bukit Gambir wajar dikaji semula – ADUN

photo 2026 08 12 12 15 38

 

BATU UBAN – Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang dimohon mengkaji semula had laju 40 kilometer sejam (km/j) di Jalan Bukit Gambir, khususnya di laluan dari hadapan stesen minyak PETRONAS sehingga ke persimpangan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gambir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan berkata, perkara itu susulan aduan orang ramai yang mendakwa sukar memperlahankan kenderaan secara mendadak ketika menuruni jalan berbukit berkenaan.

“Apabila had laju ditetapkan 40km/j, ia sangat sukar terutamanya apabila menuruni bukit, jadi ada antara pengguna yang telah menerima notis saman akibat melebihi had laju di kawasan ini.

“(Dan) saya mohon kalau boleh, pihak JKR serta pihak polis juga mengkaji semula tentang had laju ini.

“Mungkin bukan 40km/j, mungkin 60km/j, itu cadangan daripada sayalah, tetapi ini terpulang kepada pihak JKR dan juga pihak polis untuk mengkaji semula sama ada ini dapat dibuat atau dilaksanakan atau tidak,” ujarnya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke lokasi tersebut di sini pagi tadi.

photo 2026 08 12 11 27 54

Kumaresan dalam pada itu memaklumkan bahawa had laju di kawasan tersebut telah lama ditetapkan pada 40 km/j.

Had laju berkenaan ditetapkan dengan mengambil kira beberapa faktor keselamatan, antaranya pusingan U, lampu isyarat di kawasan berbukit serta kewujudan kawasan sekolah.

“Kalau boleh saya juga ingin mencadangkan beberapa tambah baik seperti penambahan meter kelajuan digital, papan tanda kawasan perangkap had laju, garisan tebal warna merah bagi meningkatkan kesedaran tentang laluan di situ,” katanya lagi.


Gambar: ALISSALA THIAN/SIN CHEW DAILY