KLANG — Tanggapan sebagai skuad ‘underdog’ langsung tidak menghalang pasukan bola keranjang 3×3 Pulau Pinang daripada mempamerkan taring sebenar pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Sorakan padu Ultras Pulau Pinang di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi awal pagi tadi turut menyemarakkan semangat perjuangan skuad lelaki dan wanita negeri itu, yang masing-masing mencatatkan kemenangan ke atas Pahang.
Dominasi Pulau Pinang bermula menerusi skuad 3×3 wanita yang dibarisi Ng Xiang Yun, Te Pei Qing, Lim Rou Yee dan Teoh Tian Qi.
Mereka mempamerkan aksi berkualiti tinggi serta kawalan gelanggang yang kemas untuk menundukkan Pahang dengan jurang mata selesa, 19-7.
Rentak cemerlang itu diteruskan skuad 3×3 lelaki menerusi gandingan Tan Jie Han, Ang Chin Heng, Ng Her Wei dan Boo Chin Ann.

Berdepan tentangan sengit daripada Pahang, skuad lelaki negeri kekal berdisiplin sebelum mengesahkan satu lagi kemenangan berharga buat Pulau Pinang dengan keputusan 21-15.
Rekod kemenangan berganda itu diteruskan apabila skuad wanita negeri sekali lagi mencatat kemenangan, kali ini ke atas Sabah dengan keputusan 15-9.
Aksi cemerlang kedua-dua skuad turut disaksikan barisan pengurusan tertinggi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan kejurulatihan negeri, termasuk Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua; Pengurus Pasukan Bola Keranjang Negeri, Tan Chee Wan; Ketua Jurulatih Negeri, Chuah Tee Shian serta Penolong Jurulatih Negeri, Sharon Lye Xing Rou.

Bercakap selepas perlawanan sesi pagi, Heng Hua menyatakan keyakinannya terhadap prestasi semasa para atlet serta mengesahkan bahawa Kontinjen Pulau Pinang menyasarkan sekurang-kurangnya dua pingat gangsa menerusi kategori bola keranjang 3×3 lelaki dan wanita pada temasya kali ini.
“Dengan permulaan meyakinkan ini, tidak mustahil buat Pulau Pinang untuk melakar kejutan lebih besar dan memperbaiki kedudukan pingat keseluruhan,” jelasnya kepada Buletin Mutiara sebentar tadi.

Chee Wan yang ditemui kemudian berkata, skuad lelaki negeri perlu menewaskan Sarawak dalam saingan seterusnya pada 5.20 petang ini bagi mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir.
“Berbaki satu lagi perlawanan yang dijadualkan pada 5.20 petang nanti, kalau skuad lelaki negeri berjaya menewaskan Sarawak, ini bermakna peluang lebih cerah untuk pasukan bola keranjang 3×3 Pulau Pinang ke peringkat suku akhir,” jelasnya lagi.
Difahamkan, pada sebelah petang ini, skuad wanita negeri akan menentang Melaka, disusuli skuad lelaki negeri yang akan mencabar Sarawak.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI