AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang memaklumkan bahawa hampir keseluruhan kawasan kejiranan Desa Mawar kini telah dinaik taraf dengan penglibatan peruntukan berjumlah hampir RM700,000.
Jelasnya, projek-projek tersebut dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun 2022 hingga 2025. Ia merangkumi kerja-kerja menaik taraf taman kejiranan, pembinaan bumbung di tanah lapang, serta penyediaan laluan pejalan kaki di Desa Mawar, Fortune Court, Farlim Square dan laluan pejalan kaki ke Sunshine Central.
“Terbaharu adalah projek laluan pejalan kaki yang disiapkan tahun lepas, menghubungkan Desa Mawar sehingga ke simpang Sunshine Central dengan kos sebanyak RM184,400.
“Projek sepanjang 650 meter ini berada di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya (JKR). Ini merupakan laluan yang sangat penting buat masa ini kerana sejak Sunshine Central beroperasi, semakin ramai penduduk dari flat Desa Mawar dan astaka menggunakannya,” ujar beliau dalam sidang media semasa lawatan tapak di Lintang Kampung Melayu 1, pagi tadi.
Turut hadir, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rohaizat Hamid; Penolong Jurutera JKR Daerah Timur Laut, Mohd. Faizul Ghazali serta wakil-wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Desa Mawar.

Mengulas lanjut, Joseph Ng turut menggesa MBPP agar segera bertindak menangani masalah kenderaan buruk dan usang yang mencemarkan pemandangan di sekitar Lintang Kampung Melayu.
“Perkara ini terletak di bawah bidang kuasa MBPP. Saya berharap pihak majlis dapat mengambil tindakan tegas terhadap kereta-kereta yang terbiar di kawasan ini.
“Hasrat kita adalah untuk membersihkan kawasan ini daripada kenderaan terbengkalai. Saya juga berharap pemilik kenderaan terlibat lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan harta benda mereka sehingga mengganggu kepentingan awam,” tegasnya.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: LAW SUUN TING