Hapus GST masih mampu bayar BR1M, ikut cara Pulau Pinang, respons Guan Eng

Admin

GEORGE TOWN – Salah satu Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan barubaru ini adalah menghapuskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang ditanggung rakyat kini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, meskipun GST dihapuskan, pemberian BR1M atau Bantuan Rakyat 1Malaysia akan diteruskan.

“Selalu kami (PH) diajukan soalan, macam mana mahu bayar BR1M sekiranya GST dihapuskan…ini kerana Kerajaan Pusat selalu cakap, hanya kerana GST mereka mampu membayar BR1M, itu adalah tidak benar sama sekali.

“Sekiranya, ikut cara Pulau Pinang, walaupun tidak mengenakan bayaran GST, kita (Kerajaan Negeri) masih mampu memberikan sumbangan tunai kepada warga emas RM130, lain-lain program Emas, pelajar IPT (institusi pengajian tinggi) RM1,000 bagi kawasan Semenanjung dan RM1,200 (Sabah dan Sarawak) serta bayi yang baru lahir, Anak Emas RM200 bagi setiap bayi.

“Semuanya dibayar secara tunai… bukan seperti BN (Barisan Nasional) yang memberi RM200 kepada bayi, tetapi perlu tunggu sehingga umur 21 tahun baru boleh tunaikan, itulah bezanya BN dan PH,” ujarnya pada sidang media di sini 9 Mac lalu.

Menurut Guan Eng, hanya melalui pentadbiran bersih dengan sistem efisien dan pelaksanaan sistem tender terbuka membolehkan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memperoleh hasil yang lebih.

“Kita (Kerajaan Negeri) jimatkan wang, malah Laporan Ketua Audit Negara sendiri melaporkan bagi tempoh 2011-2015, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya menyiapkan 99.7 peratus projek pembangunan (daripada 16,126 projek) dengan hanya membelanjakan 55.4 peratus bajet tahunan (RM951. 61 juta).

“Inilah bukti negeri yang bebas rasuah dan kaedah sama akan digunakan sekiranya PH menang Putrajaya pada PRU14 (Pilihanraya Umum Ke-14) nanti.

“Kita (PH) hapus GST tetapi masih mampu bayar BR1M, dan yang penting jangan makan dedak pastinya ada wang.

“(Dan) Pulau Pinang telah buktikannya, penjimatan tiap-tiap tahun kita (Kerajaan Negeri) guna untuk manfaat rakyat, malah lebihan belanjawan kita (PH Pulau Pinang) dalam tempoh 10 tahun ini (2008-2018) berjumlah RM667 juta jauh lebih baik berbanding 50 tahun BN di Pulau Pinang iaitu hanya RM373 juta,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan.