Harap rancangan tambah bilangan PPV lancar, pembekalan vaksin tidak lagi tergendala

Admin
KETUA Menteri (tengah) diiringi Yeoh Soon Hin (empat dari kiri) dan dua lain menerima maklum balas daripada Dr. Azizah Abdul Manan (kanan sekali) mengenai operasi PPV ‘tambahan’ di sini pada tengah hari tadi.

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bukan sahaja berharap pelan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tambahan bagi mencapai 19,210 kapasiti pemberian vaksin harian ke seluruh negeri ini berjalan lancar seperti dirancang.

Malah, beliau turut berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) tidak lagi menghadapi masalah pembekalan vaksin tergendala sebagaimana dinyatakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum ini.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke PPV ‘tambahan’ yang baru beroperasi sejak tiga hari lepas di Tapak Pesta Pulau Pinang dekat Sungai Nibong tadi.

Turut mengiringi, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut (DTL), Datin Dr. Azizah Abdul Manan dan Pegawai Daerah Timur Laut, Rosli Halim.

“Sebahagian (PPV) telah dibuka, sebahagian lagi akan dibuka dan sebahagian lain dalam perancangan (untuk dibuka kelak).

“Apabila semua PPV dibuka seperti dirancang, kita (Kerajaan Negeri) menyeru (JKKAV) supaya memastikan pembekalan vaksin ke negeri ini tidak lagi tergendala,” jelasnya di sini pada 10 Jun 2021.

Di samping itu, Kon Yeow berkata bahawa pihaknya turut akan memastikan perancangan untuk membuka PPV ‘tambahan’ khusus untuk barisan hadapan ekonomi (economic frontliners) iaitu mereka yang bekerja dalam sektor industri negeri turut berjalan lancar.

Sebelum itu, Azizah menjelaskan mengenai pengoperasian PPV di daerah berkenaan.

“Sebenarnya, sasaran kita adalah 322,000 hingga 340,000 orang mendapatkan vaksin berdasarkan sasaran imunisasi kelompok bagi daerah Timur Laut (atau menyamai) 80 peratus populasi penduduk di daerah ini.

“Sehingga kini, mereka yang telah menerima vaksin adalah kira-kira 38,000 (sungguhpun) yang mendaftar menerusi MySejahtera direkodkan sekitar 268,000 pemohon,” ujarnya sambil memberitahu pendaftaran populasi menerusi aplikasi pintar MySejahtera masih penting ketika ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD