Suntikan vaksin secara mandatori, umum kongsi pandangan  

Admin

 

TIMBUL kembali ura-ura dan gesaan supaya kerajaan mengenakan syarat mandatori bagi pengambilan suntikan vaksin COVID-19 kepada setiap rakyat Malaysia sebagai usaha mempercepatkan sasaran mencapai imuniti kelompok.

 

 

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan kenyataan bahawa organisasi kesihatan global menggalakkan setiap negara mengambil pendekatan dengan meyakinkan orang ramai melalui advokasi dan pendidikan awam tentang kelebihan suntikan vaksin COVID-19, berbanding menjadikan ia perkara mandatori diambil.

 

 

Buletin Mutiara hari ini cuba mendapatkan reaksi beberapa individu berhubung gesaan menjadikan suntikan vaksin COVID-19 sebagai mandatori kepada setiap warganegara.

 

 

Pengamal media, NUR IZZATI MOHAMAD ketika dihubungi bersetuju sekiranya kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mewajibkan suntikan vaksin dalam memerangi perebakan COVID-19 di negara ini.

 

 

“Saya menyokong sekiranya Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan suntikan vaksin ke atas seluruh rakyat Malaysia untuk mengawal pandemik ini seterusnya bebas dari COVID-19.

 

 

“Sepatutnya perkara ini dibuat dari awal lagi sama seperti kita memerangi wabak-wabak lain sebelum ini.

 

 

“Dalam pada itu, KKM juga harus percepatkan proses pemberian vaksin kerana sejak awal proses pendaftaran dibuka ada yang masih belum terima panggilan lagi,” ujarnya.

 

 

Seorang pelajar institut pengajian tinggi (IPT), MUHAMAD HAKIM AZMI berharap sekiranya mahu mewajibkan suntikan vaksin kerajaan perlu menyediakan ‘ganjaran’.

 

 

“Macam masa awal kita dengar dahulu kerajaan pernah janji kalau lengkap dua dos rakyat dibenarkan untuk rentas negeri.

 

 

“Namun itu tidak terjadi, kalau mandatori jadi macam satu paksaan pula kepada rakyat, sekiranya kebenaran rentas negeri dibenarkan secara langsung ia akan beri lebih motivasi kepada rakyat untuk terima suntikan vaksin secara sukarela,” katanya lagi.

 

 

Bagi MUHAMMAD SAIFUL ADLI MOHD. ZULKEFLI pula, dia menyifatkan pengambilan suntikan vaksin secara mandatori adalah wajar sekiranya dilaksanakan.

 

 

“Walaupun vaksin bukanlah penawar namun ia mampu mencegah atau mengelakkan daripada jangkitan COVID-19 itu menjadi lebih buruk.

 

 

“Bukankah lebih baik ada perlindungan daripada tidak ada langsung,” responsnya yang kini sedang menjalani latihan industri.

 

 

Bagi editor, MUHAMMAD QAFF SURPADI, dia membayangkan sekiranya separuh daripada populasi Malaysia tidak mengambil vaksin, misi mewujudkan imuniti kelompok adalah mustahil.

 

 

“Jadi saya setuju skiranya ia dijadikan sebagai mandatori.

 

 

“Kalau ramai tidak vaksin jangkitan akan terus meningkat dan kita tidak tahu berapa lama lagi akan pulih situasi sekarang ini,” katanya.

 

 

Apabila ramai yang mengambil vaksin maka imuniti dalam kalangan masyarakat akan terbentuk, itu pandangan daripada peniaga, SUE AYZILIA  SUHAIRI.

 

 

“Inisiatif tersebut (mandatori) kalau dilaksanakan sangat efektif dalam mengatasi jangkitan pandemik COVID-19 yang sangat tinggi di Malaysia,” ujarnya.

 

 

Responden terakhir merupakan Ketua Pegawai Ekskutif, PDC Telecommunication Services Sdn. Bhd., P. Ayappan Pappu Pillay turut bersetuju sekiranya suntikan vaksin dijadikan sebagai mandatori.

 

 

“Ia penting untuk kita tamatkan waktu sukar seperti yang kita alami kini, saya pun baharu mendapatkan suntikan dos pertama.

 

 

“Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan, tidak sakit dan saya juga tidak mengalami sebarang kesan sampingan,” kongsinya yang bersetuju sekiranya kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian suntikan vaksin secara mandatori.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & NUR ASHIKIN ISMAIL

 

Gambar : LAW SUUN TING