Harap tiada lagi kenyataan tohmahan dilempar tanpa usul periksa – Rashid

BERTAM – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon menyelar tindakan sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya melemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah melampau terhadap pembangunan dan perkembangan aktiviti Islam di negeri ini.

Beliau yang ditemui pada Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang 2016 di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini berkata, kebanyakan tohmahan dan fitnah melampau yang dilemparkan adalah tidak berasas.

“Kebanyakannya ‘orang luar’, orang yang tinggal di luar Pulau Pinang dan tidak mempunyai pengetahuan tentang negeri ini.

“Saya amat kesal dengan kenyataan seperti ini yang dilontarkan tanpa usul periksa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, walhal, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan tidak pernah meminggirkan pembangunan Islam, sebaliknya banyak mengangkat syiar Islam di Pulau Pinang,” katanya pada majlis berkaitan di sini.

Menurut Mohd. Rashid, kenyataan bersifat tohmahan dan fitnah sedemikian amat merbahaya dan mampu menggugat ketenteraman awam sekaligus menimbulkan perpecahan dan kacau bilau dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.

“Saya harap tiada lagi kenyataan bersifat tohmahan dilemparkan tanpa usul periksa, apatah lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” ujar beliau.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);