Orang cacat penglihatan juga mampu baca al-Quran dengan baik – Amzar Haziq

BERTAM – Meskipun tidak boleh melihat, ia bukanlah halangan untuk Amzar Haziq Md. Fauzi, 12, mewakili negeri Pulau Pinang dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Braille Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Bukan sahaja menyertai pertandingan tersebut, malah Amzar Haziq turut meraih gelaran juara dalam kategori bawah 13 tahun sekaligus melayakkannya membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi, hamper, naskah al-Quran dan bahan bacaan.

Ketika ditemui, Amzar Haziq berkongsi keinginannya menyertai pertandingan tilawah al-Quran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kalau boleh hendak bertanding di peringkat antarabangsa pula.

“Saya sangat gembira kerana pertandingan tersebut memberi pendedahan kepada masyarakat umum bahawa orang cacat penglihatan juga mampu dan boleh membaca al-Quran dengan baik.

“Saya cuma harap, lebih banyak pertandingan seumpamanya diadakan dan harap ia berterusan,” katanya yang merupakan pelajar di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Alma, Bukit Mertajam.

Menurut Amzar Haziq, beliau mula didedahkan dengan bacaan al-Quran secara Braille sejak berusia enam tahun.

Malah, selain keluarga, guru-guru turut banyak memberi dorongan untuk meneruskan hasrat menjadi qari suatu hari nanti.

Amzar Haziq antara tiga kanak-kanak istimewa yang diraikan dalam Majlis Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang 2016 di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini.

Selain Amzar Haziq, turut menerima penghargaan ialah Nur Zulaikha Mahri, 14, dan Adam Hussaini Mohammad Rosli, 11, yang juga menyertai pertandingan tersebut baru-baru ini.

Sumbangan penghargaan disempurnakan oleh Yang Di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Farizan Darus hadir sama pada majlis tersebut.

Turut serta, Timbalan Speaker, Dato’ Maktar Shapee, Mufti Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan dan Yang diPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man.

Dalam majlis sama, Abdul Rahman turut menyampaikan sumbangan penghargaan kepada peserta Tahfiz Muda Astro 2016 iaitu Muhammad Amiruddin Mohd. Basir yang mendapat tempat keempat dalam pertandingan tersebut, Nur Iman Kamala Norhisyam (tempat ke-enam) dan Muhammad Aminuddin Mohd. Basir (peserta akhir).

Majlis diserikan dengan penampilan istimewa peserta rancangan realiti televisyen Pencetus Ummah (PU), Taha Mohd. Omar atau lebih dikenali sebagai PU Taha.