Harga bahan api turun, tarif elektrik?

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

AIR ITAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membidas Kerajaan Pusat gara-gara gagal menurunkan harga barangan dan tarif elektrik walaupun harga pasaran dunia petroleum menurun sekarang.

“Jika sebelum ini Kerajaan Pusat kerap menyatakan bahawa tarif elektrik naik kerana harga bahan bakar mengalami kenaikan,
tetapi kenapa apabila bahan api tersebut menurun, tarif elektrik tidak diturunkan?

“Mereka (Kerajaan Pusat) selalu menyatakan penurunan harga minyak dapat menurunkan harga barang, malangnya perkara tersebut tidak pun terjadi, ini dinamakan ‘cakap tak serupa bikin’,” tegasnya pada Program Penyampaian Bantuan Kepada Pelajar Kurang Berkemampuan Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai.

Seramai 254 pelajar dari sekolah-sekolah berhampiran masing-masing menerima bantuan bernilai RM100 hasil sumbangan dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Amal Seri Sinar (PASS) dan peruntukan Guan Eng sendiri.

Dalam pada itu, Pengerusi PASS, Datuk Eadon Ching Ten Song berkata, ia merupakan penglibatan kali keempat pihaknya dalam program berkaitan.

“Ini kerana, saya sedar betapa pentingnya pelajaran kepada anak-anak, justeru, sumbangan seperti ini diharap dapat menaikkan semangat mereka untuk belajar,” ujar beliau.