Tangguh GST elak IKS, rakyat menderita

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan digesa supaya menangguhkan hasrat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehingga negara mencapai status berpendapatan tinggi.

Gesaan tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini yang tidak mahu pelaksanaannya kelak akan menjejaskan perniagaan kecil dan sederhana (IKS) di negara ini.

Malah tegas beliau, Kerajaan Persekutuan sekurang-kurangnya perlu melambatkan ia selama dua tahun jika masih ingin terus memperkenalkan cukai tersebut.

“Pelaksanaan GST perlu ditunda sekurang-kurangnya hingga negara mencapai status berpendapatan tinggi.

“Jika tidak, sektor perniagaan IKS dan rakyat akan menderita.

“Industri IKS ini berkemungkinan gulung tikar dan menutup perniagaan masing-masing ekoran tidak mampu untuk memenuhi syarat-syarat pelaksanaan GST,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut bersama beliau adalah empat pemilik kedai runcit di Balik Pulau yang bimbang dan keliru terhadap pelaksanaan GST terhadap perniagaan masing-masing.

Keempat-empat mereka ialah Lee Chee Hong, Law Chee Peng, Ong Chen Chow dan Lee Soon Seng.

Bagi Soon Seng yang telah menjalankan perniagaan runcit selama lebih 25 tahun, beliau berkemungkinan akan menutup perniagaannya berikutan pelaksanaan GST.

“Pelaksanaan GST yang memerlukan catatan kira-kira lengkap akan menambahkan beban saya kerana saya tidak mampu mengupah jurukira khas bagi menguruskan akaun kedai yang selama ini dilakukan secara manual di dalam buku lejar,” ujarnya di sini.

Soon Seng adalah peniaga ketiga di negeri ini yang membuat keputusan untuk menutup perniagaan ekoran pelaksanaan GST yang dijadualkan 1 April ini.