Hari Buletin kembali 17 Ogos 2025, tampilkan persembahan memukau pasukan TLDM

Admin
whatsapp image 2025 08 07 at 14.19.03 (4)

GEORGE TOWN – Susulan sambutan meriah yang diterima pada beberapa edisi sebelum ini, penganjuran Hari Buletin kembali lagi pada 17 Ogos 2025, kali ini bertempat di Padang Kota Lama bermula dari jam 8 pagi sehingga 6.30 petang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penganjuran Hari Buletin pada tahun ini lebih istimewa kerana dianjurkan bersama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai salah satu usaha meraikan perpaduan maritim serantau dalam suasana yang meriah, muhibah dan patriotik.

“Pelbagai aktiviti menarik telah disusun, antara yang bakal mencuri tumpuan adalah ASEAN Navies’ City Parade (ANCP) yang diadakan bersempena 3rd ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX) 2025.

whatsapp image 2025 08 07 at 14.19.03 (3)whatsapp image 2025 08 07 at 15.41.40 whatsapp image 2025 08 07 at 15.41.39

“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan dan demonstrasi armada maritim dari negara-negara Asia Tenggara yang mengambil bahagian seperti Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Laut, Royal Thai Navy, Myanmar Navy dan Vietnam Navy.

“Selain itu, pasukan TLDM turut akan mengadakan persembahan kawad senyap dan pancaragam yang pastinya memukau pengunjung yang hadir.

“Aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga turut diadakan seperti peraduan mewarna dan melukis poster, pertandingan pakaian beragam, cabutan bertuah, pemeran oleh pelbagai agensi kerajaan serta jualan makanan dan minuman,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus merangkap Ahli Majlis MMK Komunikasi, Joshua Woo Sze Zeng; Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Dato’ Baharuddin Wan Md. Nor; Panglima Wilayah Laut 3, TLDM, Laksamana Pertama Mohd. Norizal Fahrudin; Pegawai Wakil Tentera Laut Pulau Pinang, TLDM, Leftenan Komander Muhamad Fadhil Samsuddin dan Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman.

Kon Yeow menyatakan bahawa pengunjung turut berpeluang menyaksikan secara langsung aset dan keupayaan tentera laut serta kekayaan budaya armada maritim ASEAN.

“Ambillah peluang ini untuk hadir bersama-sama ahli keluarga dan merasai sendiri pengalaman unik yang jarang berlaku.

“Ini kerana kali terakhir acara perarakan ANCP diadakan di Geoge Town adalah pada 19 Mei 1990 iaitu bersempena International Fleet Riew,” katanya.

Sebagai rekod, Hari Buletin pertama kali dianjurkan pada 18 Mac 2023 di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sebelum diteruskan ke daerah Barat Daya dan Seberang Perai Utara (2024).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT