Hari Memanah Belia Padang Kota sebagai acara tahunan, kalendar pembangunan

Admin
71faef22 4d13 4d54 a010 d665ed8701b2

PANTAI JEREJAK – Kejayaan penganjuran Hari Memanah Belia Padang Kota 2025 buat tahun kedua membuktikan kemampuan golongan belia untuk memimpin dan seterusnya memberi impak positif kepada komuniti secara keseluruhan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa program anjuran dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan berjaya menarik banyak penyertaan sekali gus mencerminkan sambutan yang semakin menggalakkan terhadap sukan memanah dalam kalangan generasi muda.

4dd8a599 bb12 41b3 8739 22149cb6c242

d948a2b5 3d0b 47df a166 c3c53bcfa5df
SUASANA sekitar penganjuran Hari Memanah Belia Padang Kota 2025 sebentar tadi.

“Sukan memanah mungkin tidak sepopular bola sepak atau badminton, namun ia merupakan satu disiplin yang menguji ketajaman minda, ketenangan emosi dan kekuatan dalaman.

“Bukan sekadar acara sukan, Hari Memanah Belia dilihat sebagai platform strategik untuk menginspirasikan anak muda agar lebih aktif, memperkukuh kepimpinan akar umbi serta memupuk semangat kesukanan dan perpaduan dalam masyarakat.

“Justeru, adalah diharapkan agar Hari Memanah Belia Padang Kota dapat diteruskan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pembangunan belia negeri.

“Dengan sokongan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Majlis Belia Negeri dan Persatuan Memanah Pulau Pinang (PENAA), acara ini berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat negeri dan menjadi antara sukan berimpak tinggi di Pulau Pinang,” ujarnya pada  pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Memanah Belia Padang Kota 2025 di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Pengarah Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batu Kawan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota, Ewe Chee Way; Pengerusi Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Padang Kota, Teh Wei Huai;  Pengerusi Penganjur Hari Memanah Belia Padang Kota 2025, Fong Sau Choun dan Presiden Kelab Keiji Archery, Fazli Mohamed Noordin Babjee.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan turut menyatakan bahawa semua pihak termasuk agensi kerajaan dan sektor swasta adalah diseru untuk terus menyokong pembangunan sukan akar umbi.

1d4caf66 412d 4d0f a229 1864275df7c5

65cae03f f9cf 46ec b2cd e876b803f2a4
SESI bergambar kenang-kenangan bersama barisan pemenang dan ahli-ahli Kelab Keiji Archery.

Ini adalah termasuk dari aspek pembiayaan, fasiliti, bimbingan teknikal dan promosi bersepadu kerana penganjuran sukan bukan sekadar kejohanan, tetapi juga sebagai wadah yang membentuk masyarakat sihat, berdaya tahan dan bersatu padu ke arah negeri yang lebih makmur,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Malah, tambah beliau, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembangunan sukan akar umbi, turut dikongsikan adalah inisiatif seperti Penang Career Athlete and Education (PACE) yang diperkenalkan sejak 2020 serta Skim Sukan Awam Pulau Pinang 2030 (SAP2030) yang dilancarkan pada 2022.

“Kedua-dua program ini adalah antara sebagai pelengkap kepada Skim Insentif Kebangsaan Sukan (SKIMAS), yang mana ia turut diiktiraf sebagai platform inklusif terbuka kepada semua golongan belia tanpa mengira kaum, agama atau latar sosial agar menjadi teras kepada kemajuan negeri selaras dengan Visi Penang2030,” ulasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING