Hari Penghargaan Sedunia terima 100,000 penyertaan mewarna, rekod MBOR

SEBERANG JAYA – Jumlah 100,000 penyertaan dalam aktiviti mewarna bertemakan “Terima Kasih Malaysia, Saya Sayang Malaysia” dari seluruh pelusuk negara pada 8 Oktober lalu direkod dalam Malaysia Book of Records (MBOR), dengan partisipasi teramai sejumlah 60,000 dari negeri Pulau Pinang.

Demikian ucapan perasmian Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah , Zulkifli Long , mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus di Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) di sini baru-baru ini.

“Generasi hari ini perlu terus menghargai anugerah keamanan yang berjaya dituntut oleh generasi terdahulu, sungguhpun ada perbezaan budaya, kaum dan ideologi di antara kita.

“Keamanan di dalam negara ini perlu dipertahankan dengan rasa kasih sayang terhadap negara, agar tanah air kita tidak bergolak seperti di beberapa negara di Timur Tengah sekarang,” jelas Zulkifli.

Pengarah PPAPP, Sharimah Salleh sebelum itu turut memberi penjelasan mengenai latar belakang majlis keraian Hari Penghargaan Sedunia.

“Hari Penghargaan Dunia asalnya diraikan di Amerika Syarikat pada tahun 1965.

“Acara tahunan ini berfungsi sebagai peringatan kepada semua orang di dunia untuk menghargai apa yang mereka ada dalam kehidupan dan untuk mengasihi satu sama lain.

“Bagi kita sebagai rakyat Malaysia, ‘Terima Kasih Malaysia, I Love Malaysia’ adalah program membawa mesej untuk semua masyarakat bagi mengingat serta saling mengasihi dan menghargai apa yang kita nikmati,” ujarnya.

Aktiviti nasional itu turut mendapat sokongan agensi kerajaan serta pertubuhan korporat lain , antaranya Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka, Hospital Pantai Air Keroh (Melaka), Persatuan Kebangsaan Penjagaan Awal KanakKanak dan Pendidikan Malaysia (PERMATA Negara), Yayasan Kajian Barah Payudara, Persekutuan Persatuan Cina Malaysia dan Persatuan Interaksi Kebudayaan Malaysia.

} else {