PENAGA – Usaha memartabatkan sejarah dan khazanah budaya tempatan perlu terus diperkasakan sebagai aset penting dalam memperluas potensi pelancongan Seberang Perai, sekali gus menjadikannya destinasi pelancongan yang lebih berdaya saing.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, penganjuran Hari Warisan Seberang Perai yang memasuki edisi keempat tahun ini membuktikan komitmen berterusan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam memelihara sejarah, warisan dan identiti budaya tempatan.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja memastikan khazanah warisan terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang, malah mewujudkan sinergi antara usaha pelestarian budaya dengan pembangunan industri pelancongan.
“Kesungguhan dan komitmen berterusan ini sememangnya wajar diberikan pengiktirafan kerana warisan bukan sekadar tinggalan sejarah, sebaliknya merupakan aset bernilai yang mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Warisan Seberang Perai 2026 di Kampung Agong, di sini hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Whip Ahli Majlis bagi MBSP, Ooi Yong Wooi dan Pengarah Korporat merangkap Penyelaras Program Sambutan Hari Warisan Seberang Perai, Normaira Abdul Rahman.


Dalam pada itu, Hon Wai memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah mewartakan sebanyak 63 warisan negeri sepanjang tahun ini berdasarkan Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 (Enakmen 14).
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 21 merupakan tapak warisan negeri, 14 warisan tidak ketara dan 28 lagi warisan makanan.
Menariknya, beberapa warisan yang disenaraikan mempunyai kaitan langsung dengan sejarah Seberang Perai, antaranya Batu Bersurat Cherok To’Kun, Bangunan Persatuan Leng Eng Seah Butterworth dan Tapak Arkeologi Guar Kepah.
Selain itu, Perayaan St. Anne di Bukit Mertajam turut disenaraikan sebagai salah satu warisan tidak ketara negeri yang memperlihatkan keunikan tradisi kebudayaan serta kepelbagaian masyarakat di Seberang Perai.
“Khazanah ini menjadi saksi perjalanan sejarah Seberang Perai merentasi zaman, sekali gus mencerminkan kedalaman sejarah dan kekayaan nilai budaya yang perlu terus dipelihara,” ujarnya.
Mengulas potensi pelancongan pula, beliau berkata Seberang Perai mempunyai kelebihan tersendiri berikutan kedudukan geografinya yang strategik, bersempadan dengan Kedah di utara dan Perak di selatan.
Kedudukan tersebut memberikan kelebihan dalam menarik kehadiran pelancong domestik dari negeri-negeri berdekatan, selain membuka peluang kepada pertumbuhan pelbagai segmen pelancongan termasuk pelancongan desa, warisan, rekreasi dan membeli-belah.
Katanya, perkembangan produk pelancongan baharu yang diperkenalkan pemain industri tempatan turut memperkayakan penawaran destinasi di kawasan berkenaan.
Antara tarikan yang semakin mendapat perhatian termasuk Kampung Agong, Setia Fontaines Heritage Park di Seberang Perai Utara dan Penang River Cruise di Seberang Perai Tengah.
Malah, Sunway Carnival Mall yang terletak di Seberang Perai Utara turut mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi dalam kalangan pusat beli-belah di Pulau Pinang, sekali gus membuktikan potensi besar segmen pelancongan membeli-belah.
“Terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti umum, pusat beli-belah ini menerima kunjungan ramai pengunjung dari luar Pulau Pinang termasuk Perlis, Kedah dan Perak.
“Fenomena ini membuktikan bahawa Seberang Perai mempunyai kelebihan dari segi kedudukan strategik dan jaringan perhubungan untuk menarik aliran pengunjung serta aktiviti perbelanjaan dari kawasan serantau,” jelasnya.
Sehubungan itu, Hon Wai menegaskan bahawa pembangunan pelancongan Pulau Pinang perlu dirancang secara menyeluruh dengan mengambil kira potensi kedua-dua bahagian negeri, bukannya melihat bahagian pulau dan Seberang Perai sebagai dua kawasan yang terpisah.
Menurutnya, keunikan landskap desa, kekayaan warisan budaya dan kepelbagaian produk pelancongan Seberang Perai mampu saling melengkapi dengan tarikan di bahagian pulau seperti Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, Rizab Biosfera Bukit Bendera serta pantai-pantai yang menjadi tumpuan pelancong.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa peluasan jaringan pengangkutan awam, termasuk pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) pada masa hadapan, bakal meningkatkan keterhubungan antara kedua-dua bahagian negeri.
“Apabila kemudahan pengangkutan awam menjadi lebih cekap dan mudah diakses, pelancong domestik mahupun antarabangsa akan dapat bergerak dengan lebih mudah antara bahagian pulau dan Seberang Perai.
“Ini sekali gus membuka ruang lebih luas untuk mereka meneroka pelbagai tarikan pelancongan yang mempunyai keistimewaan tersendiri di kedua-dua kawasan,” katanya.


Sementara itu, Baderul Amin berkata, pemeliharaan warisan bukan sekadar usaha mendokumentasikan sejarah, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan, aktiviti kebudayaan dan penglibatan masyarakat bagi memastikan khazanah tempatan terus hidup serta diwarisi generasi akan datang.
Menurutnya, penganjuran Hari Warisan Seberang Perai 2026 menjadi platform penting untuk memperkukuh penglibatan komuniti, menyemarakkan perpaduan serta mengetengahkan keunikan warisan tempatan sebagai salah satu produk pelancongan negeri.
“Kerjasama antara MBSP dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut membolehkan program ini menjadi medium mendekatkan masyarakat dengan nilai sejarah dan kebudayaan yang membentuk identiti Seberang Perai.
“Warisan tidak semestinya dipelajari melalui buku atau pameran semata-mata.
“Kadangkala, kita mengenali warisan melalui permainan yang pernah dimainkan, masakan yang diwarisi daripada keluarga atau suasana kenduri yang menghimpunkan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Inilah pendekatan yang diketengahkan melalui sambutan pada hari ini,” katanya.
Baderul Amin berkata, pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang sambutan tersebut seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, sukan rakyat, demonstrasi masakan tradisional dan kenduri rakyat bukan sekadar bertujuan memeriahkan program, sebaliknya membawa nilai pendidikan, kebudayaan dan kemasyarakatan.
Jelasnya, pendekatan berasaskan pengalaman itu membolehkan warisan diperkenalkan secara lebih dekat dan mudah difahami, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha memelihara warisan tidak seharusnya terhenti selepas berakhirnya sambutan, sebaliknya perlu diteruskan melalui amalan dan penghayatan dalam kehidupan seharian.
“Saya berharap sambutan ini dapat menyemai kesedaran bahawa memelihara warisan merupakan tanggungjawab bersama dan bukan semata-mata tanggungjawab pihak berkuasa tempatan atau Kerajaan Negeri.
“Apabila masyarakat mengenali dan menghargai warisan sendiri, kita bukan sahaja mempertahankan identiti setempat, malah membuka ruang untuk memperkukuh daya tarikan pelancongan Seberang Perai,” katanya.



Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MBSP