BATU UBAN – Pesta Hoki Universiti Sains Malaysia (USM)-Penang International memainkan peranan penting sebagai platform mencungkil bakat baharu, serta melahirkan atlet berkualiti yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, penganjuran kejohanan yang bermula tahun 1973 itu, dan kini berjaya menarik penyertaan 36 pasukan pada tahun ini terus berkembang dan mempunyai nilai sejarah tersendiri.
“Tambah istimewa, penganjuran edisi ke-49 pada tahun ini turut mencatat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pencapaian The Biggest Hockey Carnival in Malaysia.
“Program yang diterajui mahasiswa USM ini sekali gus membuktikan keupayaan golongan mahasiswa bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam kepimpinan, pengurusan dan penganjuran acara berskala besar,” ucapnya pada Majlis Penutupan Pesta Hoki USM-Penang International Ke-49 di Stadium Hoki USM dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Timbalan Naib Canselor USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Prof. Hairul Anuar Hashim serta Pengerusi Pesta Hoki USM-Penang International Ke-49, R. Dhinesaan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa pembangunan sukan perlu bermula dengan usaha mengenal pasti bakat, menyediakan peluang serta membina potensi atlet sejak di peringkat akar umbi.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri terus memberi perhatian kepada pembangunan sukan menerusi inisiatif seperti Sukan TryOut @ Uji Bakat Atlet dan Penang Athlete Career & Education (PACE), yang menyokong pembangunan bakat, pendidikan serta kerjaya atlet.
“Kita mahu melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang dalam pertandingan, tetapi turut mempunyai disiplin, ketahanan mental dan keupayaan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi,” ujarnya merangkap Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Tambah beliau, penganjuran Pesta Hoki turut menyediakan ruang kepada atlet muda untuk menguji kemampuan, memperoleh pengalaman pertandingan serta mendapat pendedahan antarabangsa sebagai persediaan melangkah ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa Pulau Pinang bakal menjadi salah satu daripada empat kluster penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027, dengan enam acara sukan dijadualkan berlangsung di negeri ini.
“Sebagai komitmen, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi menyokong persiapan Pulau Pinang sebagai tuan rumah.
“Kita mahu penganjuran ini memberi manfaat jangka panjang melalui peningkatan kemudahan, keupayaan penganjuran dan peluang lebih luas kepada atlet tempatan untuk mengembangkan potensi,” jelasnya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD