GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya mencatatkan kutipan hasil melebihi RM920.15 juta sehingga November tahun ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa jumlah itu adalah melebihi sasaran kutipan hasil yang ditetapkan berjumlah RM906.59 juta.
“Saya ingin memaklumkan kepada Ahli Dewan yang mulia ini bahawa sehingga pagi ini (14 November 2025), Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM920.15 juta.
“Jumlah kutipan yang melebihi sarapan ditetapkan ini telah meletakkan Kerajaan Negeri pada landasan yang tepat untuk meningkatkan baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan.
“Malah, dengan komitmen berterusan anggota perkhidmatan awam negeri, Kerajaan Negeri optimis untuk mencapai kutipan hasil keseluruhan melebihi RM1 bilion sebelum penutupan akhir tahun ini seperti mana yang dicapai pada tahun 2016 iaitu RM1.029 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Tahun 2026 Negeri Pulau Pinang dekat Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga meneruskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) sebagai sebahagian daripada budaya kerja pentadbiran negeri.
“Hasilnya, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 telah menerima Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran pada 7 Ogos 2025.
“Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam negeri yang telah memberikan kerjasama kepada Jabatan Kewangan Negeri (JKN) dalam memastikan Pulau Pinang terus kekal sebagai negeri terbaik dalam perspektif pengauditan Penyata Kewangan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dan Ahli Parlimen Batu Kawan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD