KESIHATAN mental merupakan antara isu yang semakin menjadi perhatian global kini.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan bahawa seramai sejuta rakyat atau 4.6 peratus penduduk berusia lebih 15 tahun di negara ini mengalami kemurungan. Angka itu meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2019, dengan golongan muda berusia 16 hingga 29 tahun mencatatkan jumlah tertinggi.
Kajian sama turut menunjukkan peningkatan ketara masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan belia – daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023.
Sehubungan itu, sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun ini, Buletin Mutiara berpeluang menemu bual Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Kaunselor Berdaftar, PROF. MADYA DR. RAHIMI CHE AMAN KB; PA bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai isu kesihatan mental dari perspektif akademik.

Hari Kesihatan Mental
Rahimi menjelaskan, Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun sejak 1992, merupakan inisiatif global untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesejahteraan mental.
“Hari Kesihatan Mental memberi ruang kepada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor awam, swasta serta institusi pendidikan untuk memainkan peranan masing-masing.
“Jika semua pihak berganding bahu, masalah kesihatan mental masih boleh dibendung pada peringkat awal,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI ketika ditemui di pejabatnya pada 29 September lalu.
Rahimi memberitahu bahawa tema sambutan tahun ini menekankan kesan krisis kemanusiaan global seperti bencana alam, peperangan, kebuluran dan kegawatan ekonomi terhadap kesihatan mental masyarakat.
Ini kerana menurut beliau, setiap krisis yang berlaku pasti akan membawa kepada kehilangan nyawa yang akan memberi kesan kepada kesihatan mental dan emosi mereka yang terlibat.
“Sebab itu saya berpendapat bahawa Sambutan Hari Mental Sedunia penting dalam memberikan kesedaran dan advokasi kepada masyarakat sama ada dalam negara atau pada peringkat global,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Rahimi menyatakan bahawa semua pihak mempunyai peranan masing-masing dalam memberi maklumat dan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental.
Penyakit mental sukar dikenal pasti, tambahan pula, penyakit mental sering menyerupai keadaan lain seperti perubahan emosi yang disebabkan oleh tekanan atau hormon serta kurangnya ujian saintifik yang jelas untuk mengesahkan penyakit-penyakit ini.
“Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai gejala penyakit mental serta rawatan awal yang boleh dilakukan bagi mengelakkan ia menjadi lebih parah seperti kegelisahan, kemurungan dan skizofrenia,” katanya.
Stigma masyarakat
Menurut beliau, stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap pesakit mental masih menjadi cabaran utama.
“Stigma dan salah faham dalam kalangan masyarakat menyebabkan individu yang mengalami penyakit mental tidak mahu mendapatkan bantuan profesional.
“Stigma yang menganggap individu dengan penyakit mental ini tidak boleh diubati telah menyebabkan jurang yang meluas bagi pesakit mental untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya,” ulasnya.
Selain stigma, self-stigma atau stigma kendiri juga menyumbang kepada masalah ini, terutamanya dalam kalangan lelaki.
“Perasaan malu dan ego menyebabkan mereka (lelaki) tidak mahu mendedahkan kesedihan emosi mereka kerana ingin sentiasa dilihat kuat,” katanya.
Peranan akademik
Peranan akademia menurut Rahimi, amat penting untuk membantu kerajaan merangka dasar serta polisi yang jelas dalam memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat.
“Pelaksanaan sesuatu strategi memang datang secara bersama di antara pihak kerajaan, badan-badan akademik, NGO, syarikat swasta serta lain-lain agensi dalam memastikan dasar yang digubal dapat membentuk masyarakat yang sejahtera,” ujarnya.
Tambah beliau, USM sendiri telah melaksanakan program intervensi di sekolah untuk membantu pelajar yang berdepan kehilangan ahli keluarga, di samping membangunkan instrumen kesejahteraan psikologi pekerja merangkumi tujuh elemen termasuk mental dan kewangan.
“Sebagai majikan, USM perlu peka terhadap kesejahteraan pekerja kerana sistem sokongan sangat penting untuk produktiviti.
“Sekiranya berjaya, insyaAllah sistem ini juga boleh diimplementasi kepada sektor kerajaan seterusnya pihak swasta sebagai langkah intervensi dalam menjaga kesihatan mental pekerja,” jelasnya sambil menambah bahawa PPIP juga mengadakan kerjasama dengan pihak industri menerusi USAINS Holding Sdn. Bhd. (USAINS).
Justeru, turut menyarankan agar kerajaan menyediakan geran khas kepada universiti bagi menjalankan penyelidikan serta membangunkan modul menangani isu kesihatan mental.
Melahirkan kaunselor berkualiti
Dalam menangani isu kesihatan mental yang semakin kompleks, USM tampil dengan pelbagai inisiatif bagi melahirkan kaunselor yang benar-benar berkualiti.
Antaranya adalah dengan mendedahkan mahasiswa dalam lapangan semasa menjalani latihan praktikal seperti pusat jagaan anak yatim, rumah tunas bakti, hospital dan penjara untuk memastikan mereka mendapat pengalaman yang berbeza.
“Uniknya di USM, kami ada kursus tumpuan iaitu intervensi krisis, kanak-kanak serta remaja, organisasi dan kekeluargaan yang boleh dipilih oleh mahasiswa pada tahun akhir mereka.
“Selain itu, USM juga menitikberatkan aspek kualiti dan bukan sekadar melahirkan kaunselor semata-mata kerana kami perlu mematuhi standard Lembaga Kaunselor Malaysia,” katanya.
Serentak itu, Rahimi mencadangkan supaya jumlah perjawatan kaunselor ditambah, khususnya di Pulau Pinang yang berpenduduk padat dan semakin menua.
“Contohnya di pusat penjagaan warga emas perlu ditempatkan seorang kaunselor bagi memenuhi keperluan psikologi mereka,’’ ulasnya lanjut.
AI sebagai pelengkap
Mengulas peranan teknologi, Rahimi berkata kecerdasan buatan (AI) kini digunakan di beberapa negara maju sebagai pelengkap perkhidmatan kaunseling.
“Saya sendiri pernah menyertai latihan bersama pertubuhan kesihatan mental di Amerika Syarikat dan mendapati bahawa di sana sudah mula menggunakan AI dalam perkhidmatan kesihatan mental.
Walaupun tidak boleh menggantikan peranan kaunselor profesional sepenuhnya kerana tiada sentuhan kemanusiaan, tetapi AI mampu menjadi pelengkap sekiranya seseorang individu itu mahu mendapatkan bantuan segera.
“Ini keranan AI boleh diakses pada setiap masa dan merupakan pilihan kepada mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan atau mempunyai kekangan masa untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling secara bersemuka,” ujarnya.
Beliau menambah, generasi muda yang lebih selesa berinteraksi secara digital mungkin mendapat manfaat daripada kaunseling berasaskan AI.
“Penggunaan AI memang tidak boleh dielak, tetapi apa yang penting adalah kita perlu melihat kemudahan ini dari sisi positif sebagai penyelesaian sementara.
“Pengguna harus bijak menapis dan menilai dengan memastikan perkhidmatan yang diterima, disediakan oleh penyedia perkhidmatan yang beretika dan profesional,” tegasnya.
Mengakhiri wawancara, Rahimi menasihatkan masyarakat agar sentiasa menjaga kesihatan emosi dan fizikal.
“Sebagai individu, kita perlu menilai diri sendiri untuk memastikan kita sihat dari segi emosi dan fizikal seterusnya dapat menyumbang kembali kepada masyarakat termasuk keluarga, komuniti, negeri dan negara,” katanya.