Hasil recycle, upcycle bantu komuniti perlu

Admin

MULA ditubuhkan pada tahun 2017, Pusat Latihan dan Pameran Upcycle Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah menjadi satu-satunya pusat upcycle di kawasan Simpang Ampat yang masih aktif sehingga kini.

Sehingga kini, pelbagai anugerah dan kemenangan telah diraih oleh Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah di atas gerak kerja proaktif ahli-ahlinya dalam melaksanakan program recycle dan upcycle.

Tan Chor Soon.

Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara berpeluang menemu bual Pengerusi Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah, TAN CHOR SOON untuk melihat sejauh mana usaha mereka dalam meneruskan aktiviti berkaitan.

Memulakan bicara, Chor Soon memberitahu bahawa penubuhan Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah pada asalnya adalah untuk membantu pihak berkuasa menangani isu-isu keselamatan di kawasan komuniti setempat.

Namun begitu menurut beliau, bagi memenuhi tuntutan komuniti setempat, peranan Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah kemudiannya ditukar kepada aktiviti recycle selepas Pusat Sumber Alam Sekitar ditubuhkan di Taman Puteri Gunung pada tahun 2010.

“Kegiatan utama kami ialah mengumpul barang-barang kitar semula dan menjualnya semula yang mana pada tahun 2010 kami berjaya mengumpul hasil berjumlah RM4,926 dan meningkat kepada RM8,757 pada tahun 2011.

“Barangan recycle biasanya kami dapati daripada kilang-kilang di sekitar Simpang Ampat selain sumbangan oleh ahli-ahli persatuan kami sendiri.

“Hasil jualan yang diperoleh oleh pusat ini selain daripada digunakan untuk menampung aspek pengurusan persatuan, Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah juga menjalankan kerja amal dengan memberi sumbangan kepada pelajar miskin di sekolah sekitar Simpang Ampat,” katanya kepada wartawan SUNARTI YUSOFF dan jurugambar MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR ketika ditemui dekat Pusat Pusat Latihan dan Pameran Upcycle Pertubuhan  Penduduk Kepala Gajah, di sini baru-baru ini.

Penubuhan Pusat Latihan Upcycle

Susulan kejayaan program recycle, Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah kemudiannya menubuhkan Pusat Latihan dan Pameran Upcycle pada tahun 2017 bagi tujuan mengembangkan lagi peranan pertubuhan berkaitan.

Pusat Latihan dan Pameran Upcycle Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah yang terletak di Simpang Ampat.

Chor Soon menyatakan bahawa seramai 120 orang ahli terdiri daripada wanita warga emas telah diajar kemahiran menghasilkan produk upcycle seperti beg, bunga plastik, replika haiwan dan banyak lagi menggunakan kertas, pembungkus plastik, kotak minuman serta kain.

“Disebabkan proses menghasilkan barangan upcycle mengambil masa yang lama terutamanya untuk proses melipat dan memotong, maka penglibatan warga emas sangat sesuai kerana mereka mempunyai banyak masa terluang untuk dihabiskan di sini.

“Selain mengisi masa terluang, penglibatan warga emas juga secara tidak langsung dapat membantu mereka mengamalkan gaya hidup aktif dan paling penting mereka masih mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

“Bukan semua 120 ahli persatuan ditugaskan menghasilkan produk upcycle semata-mata, sebaliknya mereka dibahagikan mengikut kumpulan berdasarkan minat masing-masing seperti bercucuk tanam dan aktiviti senaman,” ujarnya dengan nada mesra pada sesi temu bual pada 9 Ogos lalu.

Mengulas mengenai proses penghasilan produk upcycle, beliau berkata bahawa pihaknya terlebih dahulu akan mengasingkan sampah- sampah yang dikumpulkan dalam tong khas yang ditempatkan di hadapan presmis.

“Kita akan asingkan terlebih dahulu sampah yang boleh dikitar semula akan dihantar ke kilang-kilang tertentu di sekitar Simpang Ampat manakala sampah yang tidak boleh dikitar semula akan digunakan untuk menghasilkan produk upcycle.

“Setelah diasingkan sampah-sampah ini, ahli-ahli kami akan melakukan kerja- kerja melipat dan memotong terlebih dahulu kerana proses ini biasanya mengambil masa yang agak lama dan selepas itu barulah mereka mula menghasilkan produk-produk upcycle,” jelasnya.

Ahli-ahli persatuan sedang melakukan kerja-kerja memotong dan melipat barang buangan untuk menghasilkan produk upcycle.

Chor Soon memberitahu bahawa Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah mengadakan kerjasama dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melalui penyertaan dalam ‘Karnival Upcycle’ yang dianjurkan oleh pihak Majlis di Auto City, Juru pada setiap hari Sabtu.

“Kami menggunakan peluang ini untuk menjual barangan upcycle yang dihasilkan oleh ahli-ahli persatuan selain menyertai aktiviti di beberapa buah kilang di sekitar Simpang Ampat pada setiap bulan,” ujarnya.

Khidmat latihan Selain menghasilkan produk upcycle, Chor Soon memberitahu bahawa ahli-ahli persatuan juga menjalankan program khidmat masyarakat iaitu memberi latihan kepada orang ramai pada hari Isnin dan Rabu.

“Biasanya ada permintaan daripada kilang-kilang atausekolah-sekolah tertentu untuk kami memberi latihan menghasilkan produk upcycle kepada pekerja-pekerja mereka.

“Khidmat latihan yang kamiberikan adalah secara percuma tetapi biasanya mereka akan membuat bayaran seikhlas hari mereka bergantung kepada sejauh mana manfaat latihan yang kami berikan kepada mereka,” ulasnya.

Selain menghasilkan barangan upcycle, ahli-ahli Pertubuhan Persatuan Kepala Gajah juga menjalankan aktiviti bercucuk tanam di tanah lapang di belakang Pusat Latihan danPameran Upcycle.

Antara produk upcycle yang dihasilkan.

Menurut Chor Soon, hasil tanaman yang diperoleh seperti bendi, sawi, cili dan lain-lain akan diagihkan kepada ahli-ahli persatuan selain mengedarkan kepada penduduk yang memerlukan di sekitar Taman Puteri Gunung.

“Selain bercucuk tanam, ada juga ahli kami yang menjalankan aktiviti senaman yoga sama ada bersama ahli-ahli sahaja atau melibatkan komuniti setempat,” katanya.

Perancangan dan harapan

Ditanya mengenai rancangan masa hadapan, Chor Soon berkata bahawa Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah berhasrat untuk menggiatkan lagi aktiviti recycle dan upcycle dalam kalangan muda.

“Kami akan meneruskan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti khususnya anak muda dan warga emas.

“Kami sedang memohon sebuah gelanggang tertutup sebagai tambahan kepada gelanggang sedia untuk membolehkan lebih banyak aktiviti berkaitan kitar semua dapat dijalankan.

“Selain itu, kami juga berhasrat untuk meningkatkan lagi sumbangan kebajikan kepada pihak-pihak memerlukan terutamanya pelajar sekolah melalui hasil yang diperoleh daripada kegiatan recycle dan upcycle ini,” katanya mengakhiri bicara.