Hasrat Pulau Pinang bina LRT akhirnya dipersetujui Menteri, SPAD – KM

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu, Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bersetuju dengan cadangan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang untuk membina sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dari George Town ke Bayan Lepas.

Katanya, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan wakil Kerajaan Negeri bersama-sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook serta wakil SPAD yang berlangsung pada 18 September lalu di Putrajaya.

“Saya boleh sifatkan pertemuan itu sebagai berjaya kerana kita (Kerajaan Negeri) dapat mengambil satu langkah lagi ke hadapan iaitu, ketegasan Kerajaan Negeri untuk membina sistem LRT telah diterima oleh Menteri dan SPAD.

“Dalam pertemuan itu juga, Kerajaan Negeri menegaskan bahawa sistem LRT adalah lebih sesuai dengan keadaan Pulau Pinang berbanding trem seperti yang dicadangkan oleh SPAD baru-baru ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri suatu majlis dekat Dewan Millenium pagi ini.

Penjelasan itu timbul susulan kenyataan terdahulu Anthony Loke yang dilaporkan berkata bahawa sistem LRT mungkin bukan pilihan yang sesuai untuk dibina di Pulau Pinang, berdasarkan hasil penyelidikan  SPAD.

Malah, Kementerian Pengangkutan sebelum ini turut dilaporkan mengesyorkan pilihan pengangkutan awam lain yang lebih sesuai di negeri ini adalah seperti trem, Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Bas (BRT) atau lain-lain selain LRT.

Pun begitu, kata Kon Yeow, terdapat isu teknikal yang perlu diteliti oleh Kerajaan Negeri, seperti yang dicadangkan SPAD iaitu berkenaan lokasi depoh yang pada asalnya dicadangkan dibina di pulau.

“Memandang pulau masih belum dapat ditebus dan  belum mendapat kelulusan jadi depoh, maka ia akan dialihkan ke darat iaitu selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas yang merupakan lokasi untuk stesen terakhir.

“Kita (Kerajaan Negeri) bersetuju dengan cadangan itu sementara kita menunggu kelulusan penebusan pulau.

“Maka pindaan lokasi depoh akan dibuat dan laporan berkaitan pindaan itu akan dikemukakan kepada SPAD dalam tempoh satu bulan dan kita (Kerajaan Negeri) berharap dapat serahkan pindaan itu dalam tempoh yang dijanjikan,” ujarnya lagi yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Kerajaan Negeri kini dalam proses untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan (TMP) yang mengandungi projek LRT, tiga jalan berkembar, terowong dasar laut dan beberapa lagi sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengatasi kesesakan trafik.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : G. REVATIC