GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri komited dalam memperkukuh peranan wanita dalam ekosistem perniagaan menerusi penganjuran julung kali HERTrade Expo 2025 pada 11 dan 12 Oktober ini.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, penganjuran ekspo tersebut bukan sahaja bertujuan memperkasa wanita malah bakal menjadi platform strategik yang menghimpunkan usahawan wanita.
“Saya difahamkan bahawa ekspo ini memberi peluang kepada usahawan wanita untuk mengetengahkan produk mahupun perkhidmatan yang ditawarkan terutama dari kalangan (usahawan berstatus) ibu tunggal atau keluarga berpendapatan rendah.” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi sidang media, mengumumkan penganjuran ekspo berkaitan di sini pagi tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng; Presiden Penang Elite Womenpreneurs Association (PEWA) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur HERTrade Expo 2025, Rehneel Leow Chew Yean, barisan rakan strategik serta penaja ekspo berkaitan.

Dalam sidang media sama, Siew Khim yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PWDC memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri menerusi PWDC turut mewujudkan PENMentor iaitu program bimbingan usahawan wanita yang menyediakan latihan intensif dan peluang rangkaian perniagaan.
PENMentor adalah reflek komitmen Kerajaan Negeri untuk wujudkan ekosistem perniagaan kepada golongan wanita.
“Maka, bagi penganjuran HERTrade (Expo 2025) ini, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin nyatakan sokongan dan mengalu-alukan semua untuk hadir ke SPICE Arena pada 11 dan 12 Oktober ini,” katanya.
Mengambil kesempatan sama, Siew Khim turut menzahirkan penghargaan kepada PEWA dan seluruh jawatankuasa yang terlibat dalam penganjuran ekspo ini.

Sementara itu, Chew Yean memberitahu bahawa ekspo ini direka untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada golongan wanita.
“Ekspo ini memberi pendedahan kepada usahawan wanita melalui perkongsian pengetahuan dan jaringan peluang dengan mengetengahkan lebih 100 pempamer merentasi pelbagai bidang antaranya gaya hidup, kecantikan, kesihatan, produk makanan dan minuman, pelancongan, pendidikan dan perhiasan.
“Selain itu, pengisian lain adalah penganjuran acara ASIAN Beauty and Hairdressing Competition (ABHC) 2025, turut diadakan adalah penyampaian anugerah; pertunjukan fesyen yang mana sorotan utama adalah fesyen kebaya Baba Nyonya, ceramah dan sesi ‘pocket talk’.
“Bagi anugerah, fokus utama adalah untuk mengiktiraf peranan dan pencapaian cemerlang usahawan wanita dalam pelbagai bidang termasuk inovasi.
“Saya berharap para penerima anugerah ini akan menjadi contoh teladan yang mampu memberi inspirasi kepada usahawan wanita lain,” jelasnya.

Menariknya, tambah Chew Yean lagi, 80 peratus reruai pameran dibina menggunakan bahan kitar semula sekali gus mencerminkan komitmen terhadap amalan mesra alam dalam penganjuran ekspo berkenaan.
“Saya menjangkakan kehadiran lebih 10,000 pengunjung yang mana 400 pengunjung bertuah berpeluang untuk memiliki maskot istimewa yang menjadi ikon penganjuran ekspo ini.
“Hasil jualan maskot ini akan diserahkan kepada Persatuan Pembela Wanita Pulau Pinang iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang melindungi dan membantu wanita rentan atau dalam krisis,” katanya.
Sebagai makluman, PEWA merupakan sebuah NGO yang membantu pembangunan perniagaan usahawan wanita Pulau Pinang melalui pelbagai program yang dirangka khas bagi tujuan tersebut.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN