HIPP pacu sektor pelancongan perubatan, wujud peluang kerja anak P. Pinang

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

BAYAN BARU – Hospital Islam Pulau Pinang (HIPP) bukan sahaja merupakan hospital patuh syariah pertama yang akan dibangunkan di negeri ini, malah berupaya menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hub perubatan di rantau ini merangkumi Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-Growth Triangle).

Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Dato’ Mansor Othman berkata, mengikut laporan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MTHC), jumlah keseluruhan pendapatan daripada pelancongan kesihatan negara pada 2014 adalah sebanyak RM370 juta dan angka tersebut kian meningkat sebanyak RM390 juta (2015).

“Laporan MTHC merekodkan bahawa 60 peratus daripada keseluruhan ‘pelancong kesihatan’ yang datang ke Malaysia memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan utama.

“Ini menunjukkan bahawa potensi HIPP untuk berkembang pesat dan seterusnya memacu ekonomi negeri adalah sangat tinggi, secara tidak langsungnya, ia akan memberikan peluang ekonomi kepada warga negeri Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal pada majlis perasmian HIPP di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan upacara pecah tanah, Yang di-Pertua Negeri (TYT),Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh) turut hadir menyaksikan majlis bersejarah tersebut.

HIPP dibangunkan dengan kos sebanyak RM280 juta di atas tanah kepunyaan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan keluasan kira-kira lebih 0.8 hektar dan dijangka akan memulakan operasi sepenuhnya pada tahun 2020.

Terdiri daripada sebuah bangunan 14 tingkat termasuk tujuh tingkat tempat letak kereta, ianya akan dilengkapi dengan kemudahan 200 katil termasuk penyediaan 20 katil wakaf yang dibiayai oleh HIPP sebagai satu komitmen dengan tidak mengetepikan golongan kurang berkemampuan dan dhu-a’- fa.

Tambah Mansor, pembinaan hospital tersebut juga bakal mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak Pulau Pinang.

“Antara bidang perubatan yang disediakan ialah pediatrik, ginekologi, endoskopi dan kardiologi, malah, ia juga akan dilengkapkan dengan kemudahan pembelajaran untuk melatih doktor dan jururawat.

“Secara tidak langsung, ia dapat membantu warga negeri untuk mendapatkan peluang latihan dalam bidang perubatan serta memberikan satu jaminan ekonomi yang mampan kepada Pulau Pinang.” ujarnya.

Setelah siap kelak, Hospital Pakar An-Nur yang berpusat di Bandar Baru Bangi dipilih sebagai operator HIPP setelah melalui proses saringan ketat sebelum ini.