Fasa 3 Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung janji MRF skala lebih besar

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

JAWI – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berharap Fasa 3 Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung yang dijangka siap menjelang November 2017 bakal menjadikan pengurusan sisa pepejal di negeri ini lebih efisien.

Beliau yang mengadakan lawatan khas ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Pulau Burung baru-baru ini berkata, Fasa 3 yang berkeluasan 315 ekar itu bakal menempatkan kemudahan lebih teratur dari segi pengurusan sisa pepejal serta air resapan sampah berbanding Fasa 1 dan 2 yang hanya berkeluasan 120 ekar.

“Bagi Fasa 3, kita harap tapak pelupusan ini mampu mendapat penarafan Gred 4 (gred tertinggi) berbanding Gred 3 bagi tapak pelupusan di Fasa 1 dan 2.

“Penarafan Gred 4 menjanjikan pengurusan terbaik bagi sisa pepejal, gas dan air resapan sampah untuk mencapai piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS),” ujarnya kepada wakilwakil media massa yang turut menyertai lawatan berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar PLB Terang Sdn. Bhd., Nor Azman Othman yang bertanggungjawab ke atas pengurusan di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee, Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) MPSP, Mohd. Puad Hamid dan Pengarah JPP Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mubarak Junus.

Dalam pada itu, Nor Azman memberitahu, Fasa 3 Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung bakal menjanjikan Kemudahan Rawatan Sisa (MRF) pada skala lebih besar.

“Sekarang di Fasa 1 dan 2, MRF ini boleh kita katakan sebagai bersaiz mini, apabila siap Fasa 3 ianya bertaraf ‘kilang’ yang mampu memproses bahan-bahan mampu dikitar semula seperti plastik dengan lebih tersusun dan bersih.

“Tidak ketinggalan juga adalah pengurusan air resapan sampah… untuk itu, kita menyediakan kolam takungan rawatan yang lebih besar bagi menjamin kualiti air di kawasan ini terjaga serta melepasi piawaian JAS untuk dilepaskan ke sungai dan laut,” jelasnya pada sesi taklimat khas yang diadakan.

Tambah Nor Azman, bagi pengurusan sisa air resapan sampah semasa, ianya kini dipantau bersama dengan MPSP dan JAS sebagai jaminan kualiti.

“Apa yang boleh saya katakan, kualiti air yang dirawat di sini kini memuaskan dan masih mengikut piawaian yang ditetapkan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nor Azman turut menyentuh peri pentingnya pengasingan sisa pepejal di punca serta kitar semula.

“Dengan elemen kitar semula dan pengasingan sisa di punca, ianya mampu memanjangkan hayat sesebuah tapak pelupusan sampah.

“Tapak pelupusan di sini, kita jangkakan mampu bertahan sekurang-kurangnya hingga 30 tahun, namun jika rakyat konsisten mengamalkan kitar semula, saya yakin pusat pelupusan ini mampu bertahan lebih (lama) dari itu,” katanya.

Pada sesi lawatan tersebut, wakil-wakil media turut dibawa melawat ke tapak MRF dan pusat pelupusan serta menyaksikan sendiri buruh-buruh di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung mengasingkan sisa plastik untuk dikitar semula.

Sebagai rekod, setiap hari, Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung menerima kira-kira 1,800 tan metrik sampah untuk dilupuskan.