BERAPIT – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited menyediakan sebidang tanah di hadapan Hospital Bukit Mertajam sekiranya Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan bagi membina fasiliti baharu demi menampung keperluan kesihatan awam.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, perkara itu sudah dibincangkan beberapa kali bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
“Kita (Kerajaan Negeri) sedia untuk menyediakan tanah yang mencukupi bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membangunkan bangunan pelbagai guna baharu.
“Saya berharap majlis pecah tanah projek penaiktarafan ini dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya sebelum tamat penggal pentadbiran Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-135 Hospital Bukit Mertajam di sini pada 2 Oktober 2025.

Sebelum itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin menyifatkan sambutan tahun ini lebih bermakna apabila hospital tersebut dinobatkan sebagai Hospital Paling Lestari (The Most Sustainable Hospital) dalam Hospital Management Asia Awards 2025 yang berlangsung di Vietnam baru-baru ini.
“Semoga ulang tahun ke-135 ini menjadi pemangkin untuk kita terus memberi khidmat dengan penuh amanah, integriti dan kasih sayang.
“Hospital Bukit Mertajam, dari warisan ke kecemerlangan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Hospital Bukit Mertajam, Dr. S. Prashant menyorot sejarah penubuhan hospital tersebut pada 1 Oktober 1890, yang ketika itu hanya memiliki empat wad dengan 42 katil.
“Sejarah ini harus menjadi peringatan agar kita terus berkhidmat secara dedikasi dan profesional kepada semua pesakit, khususnya rakyat tempatan,” ujarnya.
Majlis sambutan turut memberi penghormatan kepada Matron Zainab Ismail, 90, mantan Penyelia Jururawat Hospital Bukit Mertajam pada tahun 1970, yang menyampaikan ucapan khas bersempena ulang tahun ke-135 hospital bersejarah itu.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Foto: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN