Hospital Kepala Batas terima ventilator, ves CarbonCool

Admin

BERTAM – Hospital Kepala Batas semalam menerima tiga unit alat bantuan pernafasan (ventilator) daripada dua syarikat penyedia alat perubatan serta penyelesaian perisian penjagaan kesihatan, ZOLL Medical Corporation (ZOLL) dan Avro Medical Sdn. Bhd. (Avro).

 

 

Selain itu, kedua-dua syarikat terbabit turut menyumbang 20 set ves penyejuk ‘CarbonCool’ sebagai langkah rawatan awal bagi strok haba ketika memakai sut pelindung diri (PPE) terutamanya petugas barisan hadapan yang mengendalikan kes berkaitan COVID-19.

 

 

Majlis penyerahan alatan berikut kepada pihak hospital disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng yang mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

 

 

Lai Heng ketika ditemui mezahirkan penghargaan kepada kedua-dua syarikat berkaitan dan menyambut baik usaha mereka dalam membantu petugas barisan hadapan melawan pandemik COVID-19 daripada segi penyediaan kemudahan di hospital awam.

 

 

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada syarikat ZOLL dan Avro yang turut bersama-sama petugas barisan hadapan di Malaysia memerangi COVID-19.

 

 

“Sebagai Kerajaan Negeri, kita juga mahu melihat agensi-agensi kerajaan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan sebegini agar usaha melawan pandemik ini lebih berkesan.

 

 

“Kita sedaya upaya tidak mahu berlakunya kehilangan nyawa yang sia-sia, justeru semua pihak harus terus bekerjasama memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar.

 

 

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Nur Aslina Bahakodin; Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr. Norhasimawati Abdul Mutalib; Naib Presiden ZOLL Medical Asia Pacific, Christopher Barnabas; Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Bahagian Pulau, Rayson Khoo dan Timbalan Komander St. John Ambulance Malaysia Pulau Pinang, Dr. Laurence Tan antara yang hadir pada majlis penyerahan berkaitan di sini.

 

 

Dalam majlis sama, PBSM dan St. John Ambulance Malaysia juga menerima satu unit ventilator untuk kegunaan persatuan tersebut.

 

 

Difahamkan, Hospital Kepada Batas merupakan hospital 100 peratus mengendalikan kes berkaitan COVID-19 sambil disokong hospital medan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : M. TANUSHALINI