Hospital mesra ibadah & patuh syariah, Exco bidas kenyataan Timbalan Menteri

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PANTAI JEREJAK – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin membidas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya pada 4 Februari 2017 yang dianggapnya tidak memahami perbezaan di antara hospital mesra ibadah dan hospital patuh syariah.

Katanya, Hilmi hanya mengeluarkan pendapat berasaskan pandangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tanpa merujuk kepada pensijilan patuh syariah MS 1900 2014 dikeluarkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Dia (Hilmi) kata semua hospital kerajaan adalah patuh syariah, malah dia kritik pembinaan Hospital Islam Pulau Pinang (HIPP) bukan hospital patuh syariah pertama di Pulau Pinang.

“Kenyataan itu menunjukkan dia tak faham sebenarnya konsep hospital patuh syariah dan hospital yang berkonsepkan mesra ibadah.

“Hospital mesra ibadah seperti yang dikatakannya adalah tentang halal, masa solat dan sebagainya. Itupun, memang kita (Kerajaan Negeri) ada jalankan kerjasama dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) dan pihak hospital sejak tiga tahun lalu.

“Tetapi, hospital patuh syariah adalah mengikut piawaian SIRIM (MS 1900 2014) iaitu sistem pengurusan, kualiti, keperluan semuanya adalah berdasarkan perspektif Islam,” ujarnya pada sidang media khas pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pantai Jerejak di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak turut sertai sidang media berkenaan.

Dalam kenyataan diterbitkan beberapa akhbar sebelum ini, Hilmi mengulas kenyataan Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) pada November lalu berhubung pembinaan HIPP yang patuh syariah pertama di Pulau Pinang di atas tanah milik MAINPP di Bayan Baru.

Hilmi dipetik berkata semua hospital, klinik, fasaliti kesihatan kerajaan di negara ini adalah patuh syariah dan begitu juga dengan segalanya yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hampir sepenuhnya mematuhi syariah.

Difahamkan, sejak pensijilan MS 1900 2014 diperkenalkan oleh SIRIM, hanya terdapat dua hospital diiktiraf di bawah pensijilan berkaitan, iaitu Hospital Tentera di Terendak, Melaka dan Hospital An-Nur di Bangi.

Justeru, menurut Afif, Hilmi selaku salah seorang kepimpinan Muslim di Pulau Pinang seharusnya menyokong dan menghargai usaha Kerajaan Negeri membangunkan HIPP dan bukan sebaliknya mengkritik usaha tersebut hanya kerana perbezaan politik.

“Ini (pembinaan HIPP) yang kita nak buat di Pulau Pinang.

“Ini adalah legasi yang Kerajaan Pakatan (Harapan) hendak buat dan tinggalkan di Pulau Pinang. Ia bukan sahaja patuh syariah, malah mempunyai konsep wakaf yang bukan sahaja untuk komuniti Muslim Islam, juga kegunaan seluruh rakyat di Pulau Pinang,” ujarnya yang juga ADUN Seberang Jaya.