Hutang 1MDB, siapa akan bayar? – KM

AIR PUTIH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pergeseran politik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kontroversi lambakan hutang syarikat pelaburan negara 1Malaysian Development Bhd. (1MDB) adalah tidak penting serta langsung tidak menguntungkan rakyat.

Justeru, Guan Eng yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih menggesa Putrajaya supaya segera menangani isu tersebut dengan tidak menambah lagi beban hutang negara.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa beban hutang negara ini akhirnya akan ditanggung rakyat, melalui pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) mulai 1 April ini.

“Wujud konflik antara Muhyiddin dengan Najib atau tidak, itu tidaklah penting.

“Yang lebih penting dalam konflik dengan Perdana Menteri adalah bagaimana untuk menangani krisis 1MDB ini, “1MDB mengakibatkan ‘1Malaysia Dalam Bahaya’, itu yang lebih penting,” tegasnya pada Majlis Sumbangan RM100 Program Penghargaan Warga Emas Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institute (PI), Zairil Khir Johari, Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri) dan Ramkarpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) turut menyertai sidang media itu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mengulas mengenai gesaan Muhyiddin supaya langkah menyelamat (bail-out) 1MDB tidak menggunakan dana awam rakyat.

“Muhyiddin buat kali pertama bercakap mengenai ‘bail-out‘ (langkah menyelamat), maka, Muhyiddin seakan bercakap sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Najib.

“1MDB merupakan ancaman pelaburan kewangan yang besar, seakan cuba ditangani melalui langkah menyelamat (bail-out),” tegas Guan Eng lagi.

Katanya, kontroversi 1MDB kini bukan sahaja diperkatakan oleh pemimpin pembangkang, khususnya Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, tegasnya, isu kontroversi tersebut sudah sampai peringkat menggamit perhatian tokoh-tokoh yang pernah berada dalam Kerajaan Pusat, seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Tun Daim Zainuddin (bekas Menteri Kewangan).

Respons Guan Eng ini dibuat semasa Dr. Mahathir dalam kenyataan terkini beliau meneruskan kritikan ke atas 1MDB, iaitu mengaitkan kontroversi tersebut dengan kekayaan keluarga Perdana Menteri, terutama anak tiri Najib bernama Riza Aziz yang didedah mampu membeli hartanah mewah serta membikin filem di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Terdahulu, hutang modal berbayar 1MDB kepada pihak asing yang tidak mampu dilangsaikan oleh Kerajaan Pusat didedah sebanyak RM41.9 bilion.

Guan Eng dalam satu forum anjuran PI pada bulan lepas menggesa supaya suatu siasatan terbuka dibuat, lalu direkodkan dalam Laporan Ketua Audit Negara akan datang, tidak seperti dalam laporan terbaru sebelum ini.

“Jika mereka (Kerajaan Pusat) gagal bayar, siapa akan bayar,” soal Guan Eng kepada Najib, yang juga Menteri Kewangan.

if (document.currentScript) {